
KUALA LUMPUR: Armada Bersatu Malaysia menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Bloomberg sekiranya laporan yang mengatakan beliau campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tidak benar.
Pengerusi Tetap Armada Bersatu Malaysia, Zahin Zainal berkata, rakyat di negara ini sedang menunggu sama ada Perdana Menteri berani untuk mengambil tindakan terhadap Bloomberg sekiranya benar beliau tidak bersalah.
“Rakyat menanti-menanti apakah Perdana Menteri ini berani untuk mengambil tindakan terhadap Bloomberg sekiranya beliau benar-benar tidak bersalah ataupun tidak melakukan perkara-perkara yang didakwa,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Tambah Zahin yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN), Anwar sepatutnya bertindak dengan lebih tegas dan tidak sekadar hanya mengeluarkan satu kenyataan penafian semata-mata.
“Mungkin perlu dipanggil Bloomberg untuk datang ke Pejabat Perdana Menteri. Kalau tak boleh panggil, kita boleh tolong panggil.
“Kalau tidak boleh hantar surat, kita sanggup untuk pergi ke pejabat Bloomberg, let us do that. Biar kita buat, kita serah kepada pihak Bloomberg sendiri.
“Sebab saya ingat perkara ini tidak baik untuk negara,” ujarnya.
Justeru, pihaknya turut menggesa agar suatu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan yang diberikan demi menjaga nama baik institusi Perdana Menteri dan SPRM.
“Kita sebagai rakyat yang prihatin, kita merasakan ada keperluan dan kita mendesak Perdana Menteri yang begitu lantang bersuara, teruskan bersuara.
“Mungkin suatu Suruhanjaya Diraja boleh ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan yang diberikan untuk menjaga nama baik institusi Perdana Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, ujarnya Armada Bersatu hari ini membuat laporan polis terhadap dakwaan campur tangan PMX itu. – HARAKAHDAILY 3/10/2024











