
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak untuk memberikan penjelasan berhubung perkembangan siasatan yang dilakukan terhadap bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan wang berjumlah RM97 juta.
Pengerusi Tetap Armada Bersatu Malaysia, Zahin Zainal berkata, rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui status siasatan tersebut kerana ianya melibatkan satu jumlah wang yang besar.
“The people have the right to know. Mereka perlu tahu. Sebab media sebelum ini melaporkan bahawa SPRM telah memanggil Sivakumar pada 16, 17 dan 19 April 2023 untuk merakamkan percakapan dan menggeledah pejabat dan rumahnya.
“Tetapi akhirnya, apa jadi dengan siasatan tersebut, penggeledahan tersebut? Tiada apa-apa status dan perkembangan, dan rakyat Malaysia perlu tahu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Tambah Zahin, pihaknya turut meminta agar pihak Peguam Negara memberikan penjelasan mengapa tiada sebarang pendakwaan dibuat sehingga ke hari ini.
“Armada mahu juga supaya pihak Peguam Negara memberikan penjelasan mengapa sehingga ke hari ini tiada sebarang pendakwaan dibuat.
“Walaupun siasatan sudah dibuat, (namun) pendakwaannya tiada. Adakah kerana tiada salah laku yang dijumpai dalam kes ini atau bagaimana?” katanya. – HARAKAHDAILY 3/10/2024











