
NIBONG TEBAL: Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5 menuntut supaya elaun Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dipotong dan disalurkan ke Tabung Kebajikan Khas.
Desakan tersebut dibuat agar dana tersebut dapat digunakan bagi membantu penduduk terjejas akibat krisis air yang berlarutan selama enam tahun dan masih berlaku hingga kini di Mukim 5, Sungai Bakap, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, penduduk khususnya yang berada di hujung jaringan paip dan kawasan berbukit, sering menghadapi gangguan air serius setiap kali berlaku masalah bekalan.
“Kami amat kecewa dengan kegagalan PBAPP dan kerajaan negeri dalam menyelaraskan pembangunan seimbang dengan infrastruktur air sedia ada. Penduduk Mukim 5 terus menjadi mangsa,” kata Khairul dalam satu sidang media, di sini hari ini.
Khairul turut mencadangkan agar PBAPP segera berkoordinasi dengan agensi-agensi berkaitan untuk menyelesaikan krisis ini menerusi bekalan air sokongan dari selatan Pulau Pinang dan negeri jiran seperti Kedah diperoleh.
Beliau juga mengkritik projek-projek besar diumumkan kerajaan negeri, yang dianggapnya hanya janji kosong, serta menegaskan keperluan mendesak untuk lori jumbo menyediakan bekalan air mencukupi sebagai langkah sementara.
Khairul turut mendesak pembentukan jawatankuasa pemantauan yang telus dan inklusif bagi memastikan penyelesaian krisis berlarutan tersebut.
“Penduduk Mukim 5 sudah cukup sabar. Kami mahu tindakan yang proaktif dan segera,” tambahnya yang memahami keterbatasan kuasa ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail.
Namun, Khairul berharap ahli-ahli eksekutif di peringkat negeri dan Persekutuan dapat memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah ini dengan lebih berkesan.
“Kami juga memahami bahawa ADUN Sungai Bakap (Abidin Ismail) sebagai ahli legislatif dan bukan eksekutif mempunyai kuasa yang amat terbatas.
“Seharusnya, Mukim 5 yang terletak di dalam Parlimen yang mempunyai seorang Menteri Kabinet Persekutuan dan dua exco kerajaan negeri dapat memberi kelebihan strategik melalui kuasa eksekutif tertentu.
“(Iaitu) sebagai faktor penolak ke arah penyelesaian segera untuk sebarang masalah gangguan air di sini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/10/2024











