
ARAU: Kerajaan Negeri Perlis telah meluluskan untuk pemberian diskaun sebanyak 75 peratus ke atas denda pelanggaran syarat tanah bagi tahun 2024.
Inisiatif ini bertujuan membantu pengusaha rumah sewa pelancongan yang menggunakan tanah pertanian untuk tujuan komersial, termasuk menyediakan rumah inap pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Negeri, Wan Badariah Wan Saad memaklumkan perkara tersebut, hari ini.
Menurutnya, pengusaha digalakkan untuk memohon permit khas daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi memastikan aktiviti mereka mematuhi syarat yang ditetapkan.
“Pertumbuhan sektor ini di Perlis semakin meningkat, seiring dengan Tahun Melawat Perlis 2024, menyaksikan lonjakan dalam industri pelancongan negeri.
“Jadi saya menyeru agar lebih ramai rakyat tempatan terlibat dalam bidang hospitaliti untuk menampung jumlah pengunjung yang semakin bertambah,” katanya kepada Harakahdaily di sini.
Terdahulu, beliau hadir dalam Program Minum Petang bersama Pengusaha Rumah Sewa Pelancongan Perlis di D’Ngulang Homestay, Jalan Dato’ Kayaman, semalam.
Wan Badariah berkongsi pandangan mengenai industri melalui perbincangan dua hala bagi memperbaiki sektor tersebut.
“InsyaAllah, penambahbaikan akan tertumpu kepada meningkatkan keselesaan dan kemudahan pelancong di masa hadapan.
“Kami bersyukur dengan perkembangan ini dan berharap segala usaha akan dipermudahkan,” tambah beliau.
Permit khas itu dikenakan fi sebanyak RM350 bagi setiap unit, dengan tempoh sah permit selama 1 tahun, serta boleh diperbaharui bagi tempoh 3 tahun seterusnya.
Ujar beliau lagi, sehingga September 2024, sebanyak 30 permohonan permit khas diluluskan untuk penggunaan tanah kurang daripada 1/5 keluasan tanah.
“Pengusaha juga berpeluang menyertai pelbagai program bimbingan termasuk pemasaran digital, pembangunan pakej rumah inap, keselamatan pelancong dan pengendalian makanan.
“Selain itu, kluster ini juga boleh memohon peruntukan untuk pembangunan projek pelancongan di atas tanah kerajaan.
“Mereka juga berpeluang menyertai program promosi anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia seperti Majlis Rumah Terbuka Malaysia dan World Travel Mart,” katanya lagi.
Di samping itu ujarnya, lain-lain bantuan yang ditawarkan termasuk bantuan kewangan ‘one-off’, bantuan khas dan geran padanan tujuan pembaikan inap desa. – HARAKAHDAILY 1/10/2024











