
POKOK SENA: Pusat Operasi Bencana Khidmat Malaysia Kedah di Markas PAS Kawasan Pokok Sena, dibuka semula berikutan gelombang kedua banjir di Kedah melanda semula, demikian maklum Pengarah Khidmat Malaysia Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid.
Katanya, pusat berkenaan dibuka semula bermula semalam, 30 September untuk menyelaraskan gerak kerja, pelaporan, bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir.
“Khidmat Malaysia Kedah telahpun menangguhkan Pusat Operasi Bencana pada 28 September lalu kerana keadaan banjir sudah semakin pulih, tetapi terpaksa dibuka semula semalam sebab berlaku banjir gelombang kedua ini,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.
Sehingga kini kata Amin, mangsa banjir kembali meningkat, mencecah 1,373 orang daripada 457 keluarga di empat daerah iaitu Kubang Pasu, Pokok Sena, Kota Setar dan terbaru di Baling.
Sementara ujarnya, semua mangsa berkenaan ditempatkan di 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah terbabit.
“Semua entiti di bawah Khidmat Malaysia diseru supaya menyalurkan bantuan tenaga sukarelawan dan sumbangan wang ringgit melalui Pusat Operasi Bencana Khidmat Malaysia Kedah untuk meringankan beban mangsa banjir.
“Malah operasi mencuci rumah mangsa banjir gelombang kedua telahpun bermula pada semalam 30 September,” jelas beliau.
Dalam pada itu, mangsa banjir di PPS, Masjid Aisyah, Padang Terap, telahpun pulang ke rumah masing-masing berikutan banjir telah surut.
Katanya lagi, sumbangan boleh disampaikan melalui Kedah nombor akaun 552170001133 (Maybank): Majlis Tindakan Bencana Alam BPPNK.
Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Terap itu giat menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir di kampung yang terjejas sekitar Daerah Padang Terap.
Beberapa kampung di daerah berkenaan mula dilimpahi air banjir berikutan hujan lebat bermula malam hari Jumaat, 25 September lalu.
Banjir di Padang Terap itu juga telah mengakibat kehilangan jiwa dua beranak yang dihayutkan air deras ketika cuba meredah air banjir untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan, pada Sabtu 26 September lalu. – HARAKAHDAILY 1/10/2024












