
KUALA LUMPUR: Keputusan cemerlang telah dicapai oleh Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) bagi tempoh Januari-Ogos 2024 dengan mencatatkan perolehan (revenue) sebanyak RM266.5 juta.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keuntungan sebelum cukai (PBT) EPIC pula sebanyak RM43.2 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) RM28.8 juta.
Beliau yang juga Pengerusi EPIC menambah, untuk tahun ini pula, EPIC menjangkakan hasil perolehan akan mencapai RM390 juta.
“Alhamdulillah keputusan ini jauh lebih baik berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya dan juga berbanding bajet 2024,” ujarnya pada hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Ahmad Samsuri turut mengucapkan tahniah buat EPIC yang baru saja selesai menyertai Oil and Gas Asia (OGA) 2024, baru-baru ini.
“Semoga EPIC terus cemerlang selaras dengan aspirasi Shaping the Growing Future dan slogan budaya BE FACT: Better, Faster, Competitive,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kemaman.
Menurut beliau, pentingnya mesyuarat bukan sekadar untuk bertemu tetapi untuk merancang, berbincang dan menyelesaikan masalah yang ada. – HARAKAHDAILY 1/10/2024











