
KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menawar kursus kemahiran keusahawanan secara kredit mikro (Micro-Credential) melalui platform MOOC UMK (self-developed) yang dikendalikan sepenuhnya Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Akademik (PKPA).
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata, tujuan utama kerjasama melibatkan penawaran kursus kemahiran keusahawanan kepada pelajar TVET di bawah TVET Australasia bagi melahirkan graduan berkebolehpasaran.
“Kursus kemahiran keusahawanan ini melibatkan 16 modul pecahan kecil daripada tiga kursus kemahiran keusahawanan yang akan ditawarkan dalam tempoh terdekat,” katanya pada kenyataan.
Sebelum itu UMK melalui PPKPA mengadakan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Technoriant Sdn. Bhd di TVETAA Hub, Persiaran Cove Sentral, Bandar Gamuda Cove, Dengkil, Selangor, semalam.
Majlis pertukaran dokumen itu disempurnakan Dr Arham sebagai mewakili Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak, manakala Dato’ Bruce Lim mewakili Technoriant Sdn. Bhd.
Majlis bersejarah itu turut disaksikan Timbalan Menteri Digital, Datuk Ugak Anak Kumbong, yang diadakan sempena majlis perasmian Grand Launch of Digital TVET & Careers Hub.
Turut hadir, Ketua Unit Inovasi Pengajaran Dan Pembelajaran PKPA, Dr. Ahmad Zaki Amiruddin.
Dr. Arham juga berkata, MoU tersebut diadakan bertujuan meningkatkan kemahiran pelajar yang diiktiraf dan berdaya saing bagi membuka ruang dan peluang kepada graduan untuk melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi melalui micro-credit.
Sehubungan itu beliau berharap UMK dan Technoriant Sdn Bhd dapat menghasilkan output dan outcome yang memberi impak positif kepada kedua-dua pihak bagi melahirkan graduan berkebolehpasaran dan memenuhi permintaan industri.
Technoriant sebuah syarikat sendirian berhad yang dilantik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai pengurus pelaksanaan projek atau perunding beberapa program latihan serta menyediakan pelbagai kursus pembangunan profesional dan pensijilan mengikut kepakaran. – HARAKAHDAILY 27/9/2024











