
KUALA KEDAH: Menjelang setahun bergelar ADUN, pelbagai inisiatif dan perancangan ditingkatkan lagi dalam usaha meninggikan manfaat dan kebaikan serta memberi kesejahteraan kepada penduduk setempat.
ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak berkata, beliau komited membantu meningkatkan pendapatan masyarakat setempat, apatah lagi di kala situasi ekonomi negara yang tidak menentu mutakhir ini.
“Kita cadang penduduk DUN Anak Bukit ini dalam dua tiga tahun akan datang dapat menjana pendapatan (antaranya) menjadi pengeluar asam keping (gelugor).
“Asam keping ini merupakan bahan makanan yang mendapat permintaan tinggi sekarang ini dan harganya juga agak mahal di pasaran,” kata beliau.
Rashidi berkata demikian pada majlis meraikan petugas ‘Dapur Rakyat’ yang membantu membekalkan makanan bermasak kepada mangsa banjir di Maahad Tahfiz, Darul Quran, Sungai Baru, di sini semalam..
Berikutan itu, pada majlis tersebut beliau menghadiahkan setiap petugas sebatang anak pokok asam gelugor, untuk ditanam di kediaman masing-masing.
Pokok asam gelugor hybrid itu katanya, dijangka membesar dan boleh mengeluarkan buah dalam masa singkat iaitu hanya antara tempoh dua hingga tiga tahun.
Sebelum ini ujar beliau, pihaknya telah melepaskan anak ikan dan anak udang ke Sungai Anak Bukit yang menjadi punca rezeki nelayan darat persekitaran.
“Alhamdulillah, perkembangan nelayan darat juga baik, anak-anak ikan dan udang yang dilepaskan sebelum ini sudah membesar dan mampu menjadi punca rezeki.
“Bukan sahaja kepada nelayan darat Kuala Kedah tetapi juga Pendang dan Alor Setar,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga berharap cadangannya agar Sungai Anak Bukit itu dimajukan selaras Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 dapat diterima kerajaan negeri dan pihak berkaitan.
Dalam perkembangan lain, Rashidi juga berazam semoga suatu hari nanti Gunung Keriang juga akan menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Kedah berikutan potensinya baik.
“Biarlah sepanjang tempoh saya menjadi ADUN di sini (Anak Bukit), saya dapat berbakti untuk kebaikan masyarakat di sini,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/9/2024











