Acara tradisional potensi baharu pelancongan Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Acara tradisional di Terengganu kini dilihat sebagai potensi baharu dalam memacu industri pelancongan di negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, inisiatif itu dibangkitkan susulan kenyataan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris dalam sesi Dialog Exco Bersama Rakyat Daerah Hulu Terengganu, kelmarin. (Foto atas)

Katanya, antara acara yang mendapat perhatian adalah Pesta Berakit dan program kemasyarakatan yang sebelumnya berjaya menarik minat penduduk setempat.

- Advertisement -

“Acara ini bakal dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri, dengan harapan dapat meningkatkan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negeri.

“Acara tradisional ini juga berjaya memikat hati pelbagai lapisan masyarakat, dari golongan muda hingga ke orang tua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pesta Buku @PPAT 2024 bertempat di Dewan Teater Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Ridzuan Hashim, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Syed Ab Rahman Hilmi Syed Zain; dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Norliza Ismail.

Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata, keunikan acara tradisional seperti tarian Ulek Mayang dan Silat Kura menawarkan pengalaman yang jarang ditemui di luar negeri.

“Terengganu menjadi destinasi menarik bagi pelancong yang mencari kelainan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2024

- Advertisement -