Perkenan ampun: Sanusi sembah junjung kasih

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyembah junjung kasih atas kurnia perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj menerima permohonan ampun beliau sepertimana dititahkan baginda semalam.

- Advertisement -

Katanya, semoga sifat pengampun dan kebaikan hati yang ada pada Sultan Selangor akan membawa lebih banyak kebaikan serta  menambahkan lagi daulat baginda dalam pemerintahan.

“Patik juga dengan penuh takzim berazam akan mematuhi titah nasihat Baginda dan lebih berhati-hati serta menjaga tutur kata terutama ketika berada di negeri Selangor Darul Ehsan,” kata beliau pada kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau mendoakan semoga Sultan Sharafuddin dipanjangkan usia oleh Allah SWT serta berada dalam keadaan sihat walafiat untuk terus melaksanakan tanggungjawab memerintah penuh adil dan cemerlang.

Kelmarin, Sanusi melalui sidang medianya di Wisma Darul Aman
membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Sultan Selangor.

Beliau mengakui kenyataannya pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, sepertimana yang telah dipertuduhkan terhadapnya di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Sultan Selangor.

Susulan daripada itu Tuanku Sultan Selangor, melalui warkah yang disiarkan di Facebook rasmi Selangor Royal Office semalam, berkenan menerima permohonan ampun daripada Menteri Besar Kedah itu.

“Semoga negeri Selangor diberkati serta dilimpahi rahmat sepanjang berada di bawah naungan baginda,” tambah Sanusi. – HARAKAHDAILY 27/9/2024

- Advertisement -