Algeria dakwa Maghribi hantar ejen perisikan Israel

Sempadan Algeria-Morocco dalam gambar yang diambil pada November 2021. (FOTO: Al Mayadeen)
- Advertisement -

ALGIERS: Algeria mendakwa Maghribi telah menghantar ejen perisikan Israel dengan menggunakan pasport Maghribi, dan bertindak menentang kestabilan dan keselamatan negaranya.

- Advertisement -

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Khamis, Kementerian Luar Algeria turut mendakwa negara jirannya itu telah memudahkan pelbagai rangkaian jenayah, termasuk penyeludupan dadah dan manusia, penyeludupan barangan haram, migrasi haram dan pengintipan, lapor Al Mayadeen.

Sebagai tindak balas, Algeria mengumumkan penubuhan semula segera visa untuk semua warga asing yang memegang pasport Maghribi, sambil menuduh jirannya itu telah mengerahkan ejen perisikan Zionis, dengan latar belakang ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara itu.

Pertikaian mengenai status Sahara Barat telah menjadi punca utama kepada ketegangan antara kedua negara itu, dengan Maghribi melihat Sahara Barat sebagai wilayahnya, manakala Algeria menyokong organisasi Barisan Polisario yang menuntut kemerdekaan di wilayah itu.

Sempadan antara Maghribi dan Algeria telah ditutup sejak 1994 selepas serangan hotel ‘Atlas Asni’ di Marrakesh, selepas Raja Hassan II mengenakan visa kepada rakyat Algeria untuk memasuki negara itu, yang menyebabkan Algeria pada masa itu menutup sempadan darat antara kedua-dua negara.

Algeria sebelum ini telah memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Maghribi pada 24 Ogos 2021, dengan Menteri Luar Algeria, Ramtane Lamamra pada masa itu berkata bahawa ini berlaku selepas sejarah membuktikan bahawa Kerajaan Maghribi tidak pernah berhenti melakukan tindakan keji terhadap negara mereka sejak merdeka.

Mereka turut menganggap permusuhan terhadap Maghribi sebagai sistematik dan disengajakan, sejak perang pada tahun 1963 meletus antara kedua-dua negara itu yang dikenali sebagai ‘Sand War’. – HARAKAHDAILY 27/9/2024

- Advertisement -