
PADANG BESAR: PAS kini membuka keahlian kepada orang bukan-Islam untuk menjadi Ahli Bersekutu setelah parti itu meluluskan pindaan Perlembagaan pada Muktamar PAS ke-70 baru-baru ini.
Keputusan tersebut menandakan langkah penting dalam memperluaskan keterlibatan masyarakat kaum bukan-Islam dalam perjuangan politik PAS.
Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun berkata, langkah ini mencerminkan keterbukaan PAS kepada semua lapisan masyarakat, selaras dengan slogan ‘PAS for All’.
“PAS bukan parti rasis yang hanya mengutamakan satu bangsa, sebaliknya menghormati kepelbagaian kaum di Malaysia,” ujarnya yang juga ADUN Beseri.
Haziq menegaskan bahawa pembukaan keahlian bersekutu kepada bukan-Islam membuktikan komitmen PAS terhadap keharmonian negara yang berbilang kaum.
“Di peringkat Pemuda PAS Perlis, kami mengalu-alukan rakan-rakan bukan Islam untuk menyertai PAS sebagai Ahli Bersekutu,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Perasmian Taman Botanikal Perlis di Guar Jentik, hari ini.
Pindaan Perlembagaan PAS untuk membuka keahlian kepada bukan Islam sebagai Ahli Bersekutu diluluskan setelah mendapat sokongan dua pertiga daripada 1,324 perwakilan yang hadir pada Muktamar tersebut.
Langkah tersebut dijangka akan memberikan impak positif dalam memperkukuhkan kedudukan PAS di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. – HARAKAHDAILY 27/9/2024











