
KOTA BHARU: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) diminta merangka hala tuju yang jelas untuk memastikan keciciran pelajar dan beban tugas warga pendidikan dapat ditangani.
ADUN Tawang Harun Ismail berkata, apa yang berlaku sekarang Kementerian Pendidikan sering merombak sistem pendidikan setiap kali pentadbiran di Putrajaya berubah.
Katanya, walaupun tidak membabitkan pindaan Dasar Pendidikan Negara, namun ia membebankan guru dan pelajar.
“Kita nak tahu Kementerian Pendidikan nak bawa ke mana masa depan negara,” katanya di sini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan kekal memansuhkan dan tidak kembalikan semula peperiksaan UPSR dan PT3 yang dimansuhkan pada 2022 akibat pandemik Covid-19.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagaimanapun dilapor berkata, permintaan untuk mengembalikan kedua-dua peperiksaan itu memerlukan pandangan menyeluruh semua pihak yang berkepentingan.
Harun yang juga bekas pegawai Yayasan Islam Kelantan (YIK) kesal kerana isu terbabit menjadi punca 10,177 pelajar Tingkatan 5 tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Sedangkan katanya kedua-dua peperiksaan tersebut merupakan kayu pengukur kemampuan dan kebolehan pelajar sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau juga berkata berbeza di Kelantan, kerajaan negeri merangka Dasar Pendidikan Rabbani yang diterapkan dalam sistem institusi pendidikan di sekolah di bawah kelolaan YIK.
“Apa yang berlaku sekarang seolah-olah sistem pendidikan kebangsaan seperti caca merba. Berlainan dengan YIK kerana sudah jelas pendirian hendak capai Dasar Pendidikan Rabbani,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2024











