
BACHOK: Seramai 30 pelajar keluarga kurang bernasib baik yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini dipilih mengikuti Tuisyen Rakyat Sejahtera.
ADUN Tawang Harun Ismail berkata, usaha itu memberi peluang pelajar terbabit dapat menguasai pelajaran sebelum menduduki peperiksaan SPM.
Kata beliau masalah kewangan merupakan penghalang utama ada pelajar tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Jadi kita pilih 30 pelajar dari keluarga miskin bagi membolehkan mereka mengikuti Tuisyen Rakyat Sejahtera bagi menambah ilmu sedia ada yang dipelajari di sekolah.
“Kemiskinan keluarga bukan lagi halangan untuk meraih kejayaan,” katanya ketika ditemui di sini.
Pada bulan lepas kerajaan negeri melancar Tuisyen Rakyat Sejahtera dengan peruntukan sebanyak RM477,000 setahun.
Program itu dijadualkan bermula 17 Oktober ini membabit 45 DUN di Kelantan dan ia merupakan salah satu agenda dalam Kluster Pendidikan dan Modal Insan Kerajaan Negeri Empat (SG4).
Harun juga berkata, penghulu akan mengenal pasti pelajar yang kurang bernasib baik untuk menyertai program tersebut yang dilaksanakan di Pusat Khidmat DUN.
Menurutnya program tersebut membabitkan subjek teras iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Matematik dan Sejarah.
“Ini merupakan inisiatif yang baik dengan menyediakan tuisyen rakyat bagi membantu pelajar keluarga kurang kemampuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2024











