
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, bersama delegasi kerajaan negeri termasuk agensi pemegang taruh, telah mengadakan kunjungan rasmi ke Pejabat Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Ayer Keroh, hari ini.
Menurutnya, sebelum meneruskan sesi taklimat dan perbincangan berkaitan kerjasama pembangunan perumahan, beliau telah mengadakan sesi suai kenal bersama Pengarah Eksekutif LPM, Datuk Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Murad Husin.
Kata beliau, tujuan utama lawatan itu diadakan adalah untuk bertukar pandangan serta pengalaman dalam pengurusan perumahan awam di kedua-dua negeri.
“Insya-Allah, banyak perkara yang dapat di pelajari di sini sekali gus dapat di bawa pulang ke negeri Terengganu untuk meningkatkan lagi kualiti dan keberkesanan program perumahan.
“Saya berharap kerjasama ini akan membuka peluang untuk pengamalan terbaik dalam segmen perumahan awam di Terengganu.
“Terima kasih kepada pihak LPM khususnya Datuk Murad yang sudi menerima kunjungan kami dari negeri Terengganu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Menurutnya, delegasi Terengganu turut berpeluang melawat Projek Perumahan Taman Impiana Kesang di Jasin, yang dilaksanakan oleh LPM.
“Projek ini merupakan satu inisiatif pembangunan perumahan yang bertujuan menyediakan kediaman mampu milik bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya.
Sukairi berkata, input dan pengalaman yang diperoleh daripada lawatan itu akan menjadi panduan berguna dalam memperkemaskan lagi pelaksanaan program perumahan di Terengganu.
“Insya-Allah, kita ambil mana yang terbaik untuk dibawa ke negeri Terengganu pula nanti,” katanya.
Untuk rekod, LPM yang ditubuhkan pada tahun 2002, merupakan sebuah agensi kerajaan negeri Melaka yang berperanan menggubal dasar dan menyelaras pembangunan perumahan kos rendah serta perumahan mampu milik di negeri tersebut. – HARAKAHDAILY 24/9/2024











