
KEPALA BATAS: PAS mengutuk sekeras-kerasnya buli siber terhadap Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden yang dilihat agak keterlaluan, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.
Menurutnya, serangan ke atas Ketua Pemuda PAS Malaysia itu kini bukan hanya terhadap imej batang tubuh pemimpin muda itu semata-mata, tetapi sebaliknya sudah membabitkan ahli keluarga beliau.
“Semua pihak sewajarnya bermuhasabah dengan tindakan tidak bermoral ini sehingga menganggu keselamatan pihak lain yang tidak terbabit seperti ahli keluarga,” bidasnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya yang juga Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, tindakan serta siasatan segera perlu dilakukan berikutan serangan terhadap Ahli Parlimen Alor Setar itu sudah ke tahap melampau.
Serangan terhadap Afnan menjadi semakin agresif susulan ucapannya yang menempelak sikap tidak adil pemimpin Kerajaan Madani ketika sesi penangguhan Muktamar Tahunan PAS Ke-70, di Pahang baru-baru ini.
Dalam ucapan itu Afnan menempelak pemerintahan Kerajaan Persekutuan kini yang bersikap tidak adil terhadap Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang, sedangkan wakil rakyat berkenaan sah dipilih secara demokrasi.
“Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang tiada 47 kes rasuah dan tiada kesalahan meliwat, tetapi dilarang masuk ke sekolah-sekolah, sebaliknya program tajaan arak dibenarkan,” bidasnya.
Justeru kata Ustaz Muhammad Fauzi, sewajarnya pihak Kerajaan Persekutuan dan penyokong mereka bersikap lebih rasional sekiranya mahu menyangkal ucapan oleh Afnan itu.
“Sangkal dan nafi dengan cara lebih profesional atau secara tindakan undang-undang, bukannya dengan cara serangan di media sosial,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 24/9/2024











