Mansuh Hutan Simpan Segari canggah dasar negeri

- Advertisement -

MANJUNG: Kerajaan Negeri Perak didesak supaya menilai semula keputusan pemansuhan sebahagian Hutan Simpan (HS) Segari Melintang seluas 287.8 hektar melibatkan beberapa kompartmen penting.

- Advertisement -

Pemansuhan yang dilakukan pada 11 Mei 2023 (No Warta: 1681), bertujuan memberi laluan kepada aktiviti pengkuarian, namun dipersoalkan kerana didakwa bercanggah dengan dasar kelestarian alam sekitar negeri.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, HS Segari Melintang merupakan satu-satunya hutan bukit pantai yang masih wujud di pesisir Teluk Mengkudu, Mukim Pengkalan Baharu, Daerah Manjung.

Menurutnya, hutan ini bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian biologi unik, termasuk spesies pokok bernilai komersial, tetapi juga merupakan kawasan berpasir yang pernah menjadi tapak pendaratan penyu, namun kawasan tersebut kini terancam akibat aktiviti manusia.

“Pemansuhan sebahagian hutan ini bukan sahaja menjejaskan biodiversiti, tetapi turut memberi kesan kepada komuniti nelayan setempat.

“Aktiviti pengkuarian akan menyebabkan kemerosotan kualiti air laut serta menjejaskan kawasan penangkapan ikan nelayan di pesisir pantai. Nelayan juga kehilangan kawasan rehat di Pantai Teluk Akuan,” katanya.

Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dinamakan Rakan Segari telah mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri berkaitan keputusan itu.

Menurut mereka, ia bertentangan dengan syor Jawatankuasa Siasatan Tempatan Draf Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030 (Draf RTD Manjung 2030) yang mencadangkan supaya kawasan hutan sedia ada dikekalkan.

Aktiviti pengkuarian dicadangkan tersebut juga dilihat bertentangan dengan dasar kelestarian dibawa oleh konsep ‘Perak Bumi Lestari’ dan prinsip Kelestarian Penggunaan Sumber dan Alam Semula Jadi dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

Selain itu, cadangan pada tahun 2021 untuk mewartakan Air Terjun Tanjung Batu sebagai Hutan Perlindungan turut dibangkitkan di mana kawasan yang terletak dalam Kompartmen 15 HS Segari Melintang itu turut dimansuhkan, melibatkan kawasan seluas 260.3 hektar.

“Kami berharap Kerajaan Negeri Perak menilai semula keputusan ini dan mengadakan rundingan yang sewajarnya demi memelihara Hutan Simpan Segari Melintang.

“Hutan Simpan ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem serta melindungi kehidupan komuniti nelayan di sini,” tambahnya Meor Razak.

Sidang media turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Rosli Abd Rahman serta Wakil Pejabat Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad diharapkan mereka agar mempertimbangkan kebimbangan itu dan mengadakan perbincangan lebih lanjut sebelum melaksanakan keputusan pemansuhan tersebut.

Antara NGO yang terlibat dalam gabungan ini termasuk Sahabat Alam Malaysia, Persatuan Aktivis Sahabat Alam, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia, Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak, serta Komuniti Nelayan Jeti Sungai Gelam. – HARAKAHDAILY 25/9/2024

- Advertisement -