
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah menyampaikan insentif sebanyak RM251,000 kepada 37 atlet termasuk jurulatih yang meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, baru-baru ini.
Peruntukan berkenaan diberikan kepada atlet yang memperolehi pingat emas sebanyak RM2,500, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500).
Manakala bagi acara berpasukan tiga hingga enam orang yang memperolehi pingat emas menerima RM3,000, perak (RM2,500) dan gangsa (RM2,000).
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, insentif itu diberikan mengikut kategori yang dimenangi termasuk acara individu dan berpasukan.
Katanya, pada SUKMA 2024 yang berlangsung di Sarawak baru-baru ini, Kelantan telah meraih tujuh pingat emas, 13 perak dan 17 gangsa.
“Bagi acara berpasukan tujuh hingga 10 orang pula pingat emas menerima RM4,500, pingat perak (RM3,500) dan pingat gangsa (RM2,500),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insentif SUKMA Sarawak 2024 yang diadakan di sebuah hotel, di sini hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nasuruddin Daud merasmikan majlis berkenaan serta menyampaikan insentif berkenaan kepada atlet.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau berkata, untuk edisi kali ini, Kelantan telah menghantar seramai 365 orang atlet yang merangkumi 128 wanita dan 237 lelaki.
Katanya, pencapaian itu lebih baik berbanding edisi SUKMA 2022, bagaimanapun usaha perlu dibuat untuk meraih kedudukan yang lebih baik pada tahun 2026 yang bakal berlangsung di Selangor. – HARAKAHDAILY 23/9/2024











