
AYER KEROH: PAS Melaka menyatakan rasa dukacita dan kekesalan atas tindakan zalim Kerajaan Negeri Melaka yang memecat pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Ketua Penerangan PAS Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin berkata, pemecatan itu susulan daripada kejadian pegawai tersebut yang memasukkan gambar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam slide khutbah Jumaat baru-baru ini.
“Kerana itu PAS Melaka mengecam sekeras-kerasnya terhadap tindakan yang dikenakan kepada pegawai-pegawai JAIM tersebut yang jelas suatu yang melampaui batas dan zalim!” tegas beliau.
Kata Bilal, pemecatan atau penukaran jawatan melibatkan empat orang pegawai itu dimaklumkan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman berdasarkan satu laporan media.
“Rahmad dalam alasannya berkata kejadian berkenaan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri Melaka.
“Ia menimbulkan persoalan bagaimana dengan hanya menyisipkan gambar tersebut boleh menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri ini?” soalnya.
Kata Ustaz Bilal, jelas kenyataan tersebut langsung tidak masuk akal dan sengaja diperbesar-besarkan untuk merasionalkan tindakan keras terhadap pegawai-pegawai JAIM terbabit.
“Kita sedia maklum bahawa isunya hanyalah isu politik dan tidak akan sampai menjejaskan keharmonian rakyat pun.
“Tindakan memecat dan penukaran jawatan antara empat orang yang dikatakan terlibat dalam kejadian itu jelas sesuatu yang zalim dan melampau,” katanya.
Hakikatnya, kata beliau, Presiden PAS yang wajahnya itu dipaparkan dalam slide tersebut bukanlah manusia yang menjejaskan keharmonian, tetapi adalah seorang tokoh ulama dan negarawan.
Tambah beliau, sosok ulama ini juga merupakan mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia dan telah menghasilkan ratusan kitab agama, malah turut menulis tafsir beliau sendiri.
“Mengapakah kemunculan gambar beliau menjadi isu yang sangat besar sehingga ada pegawai yang hilang pekerjaan?
“Adakah ini budaya yang dibawa kepada rakyat dalam keadaan artis asing disanjung dan dijadikan ikon sedang para ulama menjadi imej yang ditakut-takutkan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi PAS Melaka semalam.
“PAS Melaka sangat kesal dengan sikap negatif yang ditunjukkan oleh Kerajaan Melaka terhadap kesilapan pegawainya sehingga menghukum mereka yang sebenarnya tidak melakukan sebarang kesalahan dari sudut Islam atau pun sebarang kesalahan jenayah.
“PAS Melaka menyeru agar kepimpinan kerajaan negeri menghormati para ulama dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2024











