
KOTA BHARU: Syarikat dikaitkan dengan isu pengadaian tanah di Mukim Ketil, Bandar Utama Gua Musang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap empat individu.
Timbalan Menteri Besar, Dato Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, langkah serupa turut dilakukan Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan.
Katanya biarpun individu terbabit bukan pemimpin politik, namun apa yang ditularkan di media sosial baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran semua pihak.
“Pejabat Penasihat Undang-undang Kelantan juga akan meneliti tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang dikenal pasti.
“Saya juga difahamkan syarikat sedang mengkaji untuk mengambil tindakan sama,” katanya pada satu hantaran di laman sosial, Facebooknya hari ini.
Baru-baru ini tular di media sosial ada individu mendakwa kerajaan Kelantan melulus tanah kepada sebuah syarikat dari Kluang untuk tempoh selama-lamanya.
Dr Fadzli berkata, penyebaran bahan visual tidak benar mengenai kerajaan negeri kini dilihat tular di media sosial.
Menurutnya juga perbuatan tersebut perlu dihentikan dengan saluran perundangan bagi menyekat kemudaratan lebih buruk dalam era maklumat di hujung hari.
“Walaupun individu-individu terbabit bukan berjawatan besar dalam parti politik tetapi tindakan fitnah sebegini tidak boleh dibiarkan.
“Ini kerana ada segelintir masyarakat yang mudah percaya apa sahaja yang disebarkan dalam media sosial tanpa mengkaji dan meneliti kebenarannya,” katanya.
Semalam Pejabat Menteri Besar Kelantan membuat laporan polis berhubung isu tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu. Laporan itu dibuat Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Hanifulfuad Hussin. – HARAKAHDAILY 22/9/2024











