
KLUANG: Persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bakal dilakukan kerajaan sedikit masa lagi dibimbangi bukan sekadar meningkatkan kerusi DAP, namun ia juga mungkin mengurangkan kerusi Melayu.
Pengerusi Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin (Che’gu Bard) berkata, ia kemungkinan disebabkan oleh faktor menyelaraskan kawasan berdasarkan jumlah pengundi.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam program ‘Rapat Umum NGO Islam dan Melayu – Ancaman Terhadap Islam dan Melayu’ yang berlangsung di Kampung Melayu, di sini, malam tadi.
Che’gu Bard turut mengingatkan penyokong Umno bahawa sekiranya ia telah menjadi kenyataan pada waktu itu Umno akan dibuang kerana tidak lagi diperlukan
Beliau juga merayu agar orang-orang Melayu di DUN Mahkota untuk menghantar isyarat yang jelas dengan mengalahkan calon Umno-BN dan memenangkan calon PERIKATAN NASIONAL dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di situ agar isi hati orang Melayu diberi perhatian oleh pemimpin Umno.
“Kamu jangan harap Umno itu boleh mendengar. Kamu kena kalahkan Umno supaya Presiden Umno belajar. Belajar mendengar suara dan maruah Melayu. Bangsa Johor bangsa yang bermaruah.
“Umno maruahnya adalah kerana perjuangan Melayu Islam. Hari ini saya minta maaf, Umno tak ada maruah. Untuk mengembalikan maruah itu tersebut, kamu kena buat keputusan berani,” katanya.
Turut berucap ialah Presiden PERKASA, Syed Hassan Syed Ali, Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Presiden Sekretariat KERABAT Kebangsaan, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dan Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris.
Hadir sama ialah calon PERIKATAN NASIONAL bagi PRK (DUN) Mahkota Mohamad Haizan Jaafar (Coach Haizan) dan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz.
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Dalam PRK ini, calon PERIKATAN NASIONAL, ‘Coach Haizan’ ditentang calon BN Syed Hussein Syed Abdullah, 40, yang merupakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang.
SPR menetapkan 28 September sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka manakala pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September melibatkan tiga pusat mengundi. – HARAKAHDAILY 22/9/2024











