
KOTA BHARU: Maulana Syed Suhaib Husaini Nadwi akan memeriahkam Majlis Hubbun Nabi Muhammad saw anjuran Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK).
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Daud berkata, ia sebahagian pengisian sepanjang bulan kelahiran Nabi saw, Rabiulawal.
Bahkan kata beliau, program tersebut turut diadakan seluruh jajahan bagi mencapai hasrat memupuk semangat cintakan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
“Kita mahu menghidupkan hubbun Nabi di seluruh negeri yang dirasmikan Menteri Besar hari ini, selepas itu program hubbun Nabi akan diadakan di seluruh jajahan.
“Esok difahamkan YTK turut mengadakan majlis bakal dihadiri cucu kepada almarhum Maulana Abu Ali an Nadawi iaitu Maulana Syed Suhaib Husaini Nadwi,” katanya pada Majlis Hubbun Nabi saw Peringkat Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Majlis yang sarat dengan pengisian termasuk berzanji itu dirasmi Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Turut hadir Ketua Hakim Syarie Kelantan, Dato’ Ibrahim Deris; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Dr Hasnan Ramli dan Timbalan Mufti Kelantan, Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.
Mohd Asri yang juga ADUN Demit berharap program seumpama itu dapat diadakan di peringkat agensi kerajaa persekutuan dan negeri.
Menurutnya usaha tersebut dapat menyemarakan lagi kecintaan dan kerinduan kepada Nabi Muhammad saw selain mencontohi perjuangan dan kehidupan harian baginda.
“Supaya kita melebarkan kecintaan ini kepada Nabi Muhammad SAW khususnya ketika mana kita berada di bulan Rabiulawal sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/2024











