
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menunggu keputusan rasmi daripada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) berkenaan isu melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) sebelum mengambil sebarang tindakan selanjutnya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan bertindak berdasarkan keputusan mesyuarat MKI yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu berhati-hati dalam mengambil langkah agar tidak bertentangan dengan undang-undang.
“Sekarang ini masih dalam pendakwaan, jadi kita kena teliti dengan lebih lanjut sebab kerajaan negeri melalui PBT kalau kita ambil langkah yang tak sesuai kita boleh disaman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Townhall Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) di Duyung Convention Centre, di sini, hari ini.
Menurut beliau, siasatan terhadap GISBH telah berlangsung sejak setahun lalu dan masih diteruskan oleh pihak berkuasa.
“Kami di pihak kerajaan negeri pun masih tak dapat maklumat yang terperinci kerana siasatan yang dilakukan pihak berkuasa tu bukan sehari dua ni.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah-langkah dan tindakan yang perlu,” katanya.
Ditanya mengenai organisasi GISB di Terengganu, Samsuri menyifatkan ia tidak terlalu menonjol seperti di negeri-negeri yang lain dan situasinya masih dalam keadaan terkawal.
Samsuri turut memaklumkan bahawa walaupun kerajaan negeri belum mengeluarkan arahan rasmi untuk menutup premis GISBH, aktiviti perniagaan syarikat tersebut dilihat sudah mula berkurangan pengunjung.
Di Terengganu, terdapat dua premis perniagaan milik GISB iaitu sebuah restoran di Jalan Sultan Zainal Abidin serta sebuah kedai bakeri di Wisma Khaleeda, Jalan Tengku Mohamad dekat Gong Badak, Kuala Nerus. – HARAKAHDAILY 22/9/2024











