
KLUANG: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) pernah membantu Umno-BN suatu ketika dahulu dalam beberapa pilihan raya, malangnya parti itu kini mengkhianati orang Melayu dengan bersekongkol dengan DAP.
Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris berkata, kerana itu kini NGO itu beralih menyokong PERIKATAN NASIONAL yang dilihat menjadi benteng pertahanan orang Melayu pada masa ini.
“Ya, betul PERKASA ini satu NGO. NGO PERKASA ni tak boleh buat apa-apa pun. Tapi kena ingat, kami ada pengundi. Kami dulu pernah membantu seketika pada tahun 2012 pada Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam program ‘Rapat UK NGO Islam dan Melayu – Ancaman Terhadap Islam dan Melayu’ yang berlangsung di Kampung Melayu, di sini, malam tadi.
Katanya PERKASA telah menjadi pertubuhan yang membantu parti-parti politik Melayu dalam banyak pilihan raya dan memberikan kesan yang besar walaupun ia bukan parti politik.
“Jadi pada hari ini, tambahan di Johor ni adalah salah satu kubu kuat Umno dan juga Barisan Nasional. Apa dah jadi hari ini tuan-tuan?
“Sekian lama dahulu mereka mengatakan bahawasanya indoktrin mereka ni sudah katakan ‘DAP ni tak boleh bersama’, ‘tak boleh bersama’, (tetapi) pada hari ini mereka bersama dengan DAP,” ujarnya.
Kata beliau lagi, masalah yang berlaku sekarang ini ialah apabila orang Melayu mempertahankan hak mereka, mereka disekat daripada berkata.
“Kita tak boleh bercakap. Bila kita bercakap ini dikatakan ‘oh ini satu perkara yang tak boleh bercakap, melanggar 3R dan sebagainya’.
“Sedangkan 3R pun tidak pernah dibincangkan di dalam Parlimen. Apakah salah saya bercakap untuk mempertahankan agama saya?” soalnya.
Katanya, PERKASA adalah NGO yang bebas, tidak terikat dengan mana-mana pihak dan tidak ditaja di mana ia akan membantu parti-parti politik Melayu selagi mereka benar-benar memperjuangkan hak Melayu.
“Andai kata PERIKATAN NASIONAL tidak mengotakan janji-janjinya, kita sama-sama juga kita berdepan dengan mereka. Kami PERKASA tidak hairan.
“Sebab 2012 kami pernah membantu Barisan Nasional tetapi pada hari ini kami melawan BN kerana BN telah zalim kepada rakyat dan khususnya kepada orang Melayu.
“Saya harap tolong undi kali ini saya minta tolong undi calon daripada PERIKATAN NASIONAL,” katanya.
Turut berucap ialah Presiden PERKASA, Syed Hassan Syed Ali; Pengerusi Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin (Che GuBard), Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Presiden Sekretariat KERABAT Kebangsaan, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar.
Hadir sama ialah calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (DUN) Mahkota Mohamad Haizan Jaafar (Coach Haizan) dan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz. – HARAKAHDAILY 22/9/2024











