
KOTA BHARU: Anak istimewa perlu dibimbing dengan aktiviti kesenian bagi menyerlahkan bakat golongan berkenaan biarpun nasib mereka tidak seperti kanak-kanak normal yang lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, sebagai contoh seni fiber yang didedahkan pada mereka akan memberi platform kepada golongan berkenaan untuk mengekspresikan bakan dan kreativiti mereka.
Katanya, setiap karya yang dipamerkan merupakan hasil usaha dan ketekunan anak-anak istimewa ini yang berusaha memperlihatkan potensi luar biasa mereka dalam seni visual.
“Ini adalah satu inisiatif yang sangat positif, bukan sahaja bagi perkembangan kreativiti anak-anak, tetapi juga untuk membuka mata masyarakat terhadap kebolehan luar biasa mereka,” katanya.
Terdahulu beliau berucap merasmikan Pameran Seni Fiber Kanak-Kanak Istimewa di Bizara petang semalam.
Rumah yang menempatkan kanak-kanak istimewa itu diasaskan Wan Zakaria Wan Abu Bakar, yang terletak di Wakaf Stan, Kubang Kerian dekat sini.
Katanya, pameran ini diharap menjadi simbol keprihatinan masyarakat terhadap pendidikan inklusif dan keperluan untuk memberi sokongan yang menyeluruh kepada golongan berkenaan dalam mengembangkan bakat mereka.
“Saya berharap anak-anak istimewa ini terus diberi peluang untuk menyerlahkan bakat dan potensi mereka, bukan sahaja dalam bidang seni, tetapi juga dalam semua aspek kehidupan.
“Mereka adalah anugerah Allah yang istimewa, dan melalui sokongan serta kasih sayang, mereka mampu mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/2024











