
POKOK SENA: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya menegaskan, setakat ini pihaknya tidak berhasrat untuk masuk campur isu melibat anggota syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang mendapat perhatian pihak berkuasa ketika ini.
Katanya, isu yang sedang mendapat perhatian dan tindakan pihak berkuasa ketika ini, lebih baik hal itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.
“Kita tidak mahu masuk campur kerana kita tak tahu apa yang sebenarnya berlaku di dalam GISBH itu sendiri. Pihak yang membuat siasatan lebih tahu,” jelasnya ketika ditemui media di Markas PAS Pokok Sena, Langgar, di sini hari ini.
Namun kata Ahmad, PAS mengharapkan sekira terbukti berlaku penyelewengan dari sudut akidah, mahupun penipuan serta penindasan terhadap kanak-kanak, tindakan tegas dari pihak berkuasa perlu diambil.
“Kalau seseorang itu mengaku dirinya Islam, tetapi tidak melaksanakan Islam yang sebenar, dan bercanggah dari ajaran sebenar, mesti diambil tindakan.
“Urusan itu perlu diambil tanggungjawab oleh pihak berkuasa agama, kerajaan dan lain-lain yang kaitan,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, isu GISBH ini juga ujarnya, lebih kepada penyelewengan akidah, namun dari sudut perniagaan jika patuh kepada undang-undang serta memberi khidmat baik kepada pelanggan, tidak perlulah diambil tindakan.
“Apa jua tindakan pastikan tiada berlaku penganiayaan. Kalau penyelewengan dari sudut akidah (maka bertindak atas isu tersebut), janganlah ambik tindakan kepada perniagaan.
“Biarlah tindakan mengubat tempat yang sakit. Elak tindakan membabi buta,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memaklumkan pihaknya sentiasa memantau pergerakan GISBH yang beroperasi di negeri ini.
Katanya, setakat ini pihaknya belum terdapat sebarang aduan melibatkan salah laku kumpulan tersebut di Kedah.
Sementara dua hari lalu, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, pihaknya akan mengeluarkan fatwa ajaran GISBH adalah sesat.
Keputusan itu jelasnya, susulan fatwa yang sama dikeluarkan oleh Perlis berkenaan kumpulan terbabit. – HARAKAHDAILY 22/9/2024











