
PARIT BUNTAR: Hampir 300 premis melibatkan 80 premis perniagaan dan selebihnya kediaman telah terkesan dengan kejadian banjir kilat serta ribut di sekitar kawasan Parit Buntar.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, beberapa rumah di Bagan Tiang, Kampung Tok Ngah Bawah dan Kampung Tanah Baru rosak dilanda ribut.
Manakala, beberapa lokasi di bandar Parit Buntar dan kawasan taman perumahan berhampiran, berlaku banjir kilat.
“Saya sangat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada semua penduduk terlibat, diharap mereka bersabar dan tabah menghadapi ujian ini, pasti Allah memberi ganjaran pahala atas kesabaran ini,” kata beliau
Jelasnya lagi, lawatan dan bantuan kepada penduduk yang terkesan dikendalikan oleh pegawai pusat khidmatnya, berikutan beliau kini berada di luar kawasan kerana mengurus isterinya yang sedang menerima rawatan di Hospital Serdang, Selangor.
Terdahulu, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), punca utama berlaku banjir adalah disebabkan hujan lebat dan berlaku limpahan air di sungai-sungai utama kawasan berkenaan.
Situasi itu menjadi lebih meruncingkan apabila sistem saliran dan perparitan di kawasan sedia ada tidak lagi efektif untuk menampung air apabila berlaku hujan lebat.
Sementara kata Misbahul, pihaknya juga mengalu-alu sumbangan orang ramai untuk membantu mangsa bencana melalui nombor akaun 5584 1753 6106 (Maybank): Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Parit Buntar.
Orang ramai juga boleh menghubungi pusat khidmat di talian 014-300 6848, sekiranya inginkan keterangan.
Dalam pada itu ujarnya, anggota Jabatan Amal dan sukarelawan juga sedang giat membantu mencuci rumah mangsa-mangsa terutama penduduk yang uzur dan tidak berkemampuan. – HARAKAHDAILY 19/9/2024













