Tanpa ‘walaun’ banyak aktiviti tidak berjaya sebaiknya

- Advertisement -

TEMERLOH: Kejayaan PAS adalah hasil tarbiyah pimpinan terhadap ahlinya yang sentiasa wala’ dan taat pada arahan parti dan juga pimpinan selagi ia tidak bertentangan perintah Allah dan Rasul.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, semua pihak boleh berbeza pandangan dalam apa-apa sudut selagi ia tidak bertentangan dengan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.

“Pendekatan dalam hal ini, apabila datangnya suatu keputusan perlunya wala’ dan patuh sehingga kita (orang-orang PAS) dipanggil (dengan ejekan) ‘Walaun’.

“Sememangnya, kita hanya wala’ pada Allah, Rasul dan orang beriman selagi pemimpin itu wala’ dengan syariat Allah,” ujarnya menyindir pihak-pihak yang meremehkan patuh setia di dalam PAS itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.

Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Pusat itu bagaimanapun kesal kerana wujud pihak-pihak yang cuba meracun ahli-ahli supaya tidak wala’ dan taat pada arahan pimpinan.

“Hal ini peru dibimbangi, akan tetapi inilah yang ada pada pemikiran anak-anak muda kita. Ini juga telah menjadi satu trend atau ikutan pemikiran yang amat merbahaya,” katanya.

Tambahnya, ada juga dalam kalangan mereka dirasuah dan termakan dengan dakyah mereka yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai menjelaskan bahawa wala’ inilah yang menjadikan PAS kukuh dan kuat sehingga hari ini.

“Sebagai contoh, Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil atau BERSIH kali terakhir yang menggabungkan semua parti, tetapi semua pimpinan PAS mengarahkan untuk tidak bersama dan pada ketika semua ahli wala’.

“Terbukti, perhimpunan BERSIH itu dilihat gagal kerana tiada sambutan dan hambar,” jelasnya terhadap situasi yang berlaku apabila tiada sokongan ‘walaun’ PAS itu. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -