
TEMERLOH: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Kerajaan Persekutuan agar bersikap sewajarnya kepada negeri pembangkang melalui pelaksanaan pembangunan wilayah yang adil.
Menurut beliau, setiap negeri hanya menerima pulangan cukai per kapita yang sangat rendah, dengan purata RM2.50 seorang, walaupun negeri-negeri dikuasai PAS telah menyumbang hasil cukai besar kepada Kerajaan Pusat.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 10 peratus daripada hasil cukai negeri perlu dikembalikan kepada negeri masing-masing untuk pembangunan tempatan.
“Kita lihat banyak negeri adalah pengeluar hasil utama, namun kawasannya masih mundur. Sebagai contoh, Pahang adalah pengeluar utama balak, terutama di Lipis, tetapi kawasan ini masih miskin,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 yang berlangsungdi Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, negeri seperti Kelantan dan Terengganu yang menyumbang hasil besar, termasuk petroleum, namun tidak mendapat pengagihan ekonomi adil.
Katanya, peruntukan kepada Ahli Parlimen dan ADUN juga tidak dilihat setimpal dengan hasil yang disumbangkan oleh negeri-negeri tersebut.
Beliau yang juga ADUN Cheka dalam ucapan itu turut menyentuh mengenai hubungan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, terutamanya dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kata beliau, wakil Sabah di Muktamar PAS kali ini telah membangkitkan lagi isu pelaksanaan MA63, di mana Sabah dan juga Sarawak masih menuntut hak-hak yang termaktub dalam perjanjian tersebut.
“Kita umat Islam kita ikat dengan janji,” katanya melontarkan peringatan kepada Kerajaan Pusat dan menjelaskan pendirian sikap berbeza PAS berkaitan hak-hak negeri.
Tuan Ibrahim turut mengingatkan supaya Kerajaan Pusat tidak mengabaikan negeri-negeri di Borneo kerana ia boleh menimbulkan ketidakpuasan hati yang berpotensi membawa kepada konflik.
Perkara tersebut nasihatnya dengan keadaan yang pernah terjadi di Yaman akibat pengabaian oleh Kerajaan Pusat sehingga mencetuskan pemberontakan. – HARAKAHDAILY 15/9/2024











