
TEMERLOH: Perwakilan PAS Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi, menyarankan agar PAS menjadi perintis dalam menafsirkan semula Perlembagaan Malaysia mengikut hasrat asal para penggubal untuk memastikan perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, penyatuan Melayu penting dan perlu ditangani dengan lebih mendalam, terutama dalam konteks undang-undang.
“Kita harus membaca perlembagaan ini mengikut usul yang sebenar iaitu untuk menyatukan rakyat bukan membawa perlembagaan atau apa usul yang menyebabkan jauh lari daripada hasrat yang asal.
“Sebagai contohnya dalam perlembagaan yang asal PAS harus melihat kedudukan nombor 3 dalam susunan perlembagaan menyebut tentang Islam, maka bacaan kepada tafsiran perlembagaan harus dibaca bahawa Islam agama rasmi kepada negara ini.
“Maka perkara ini harus dirintis oleh PAS sebagai penterjemah bagaimana Islam dapat kita laksanakan di Malaysia,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.
Beliau sekali gus menyokong usul penyatuan ummah yang dibawa oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad.
Mumtaz juga menekankan pentingnya mempertahankan identiti bangsa yang meliputi bahasa, agama, tulisan dan adat resam.
Katanya, walaupun peruntukan bajet untuk perpaduan tidaklah setara dengan bajet lain, beliau melihat model SG4 sebagai contoh terbaik bagaimana perpaduan dapat menjaga agama, bahasa serta kekayaan pribumi dan rakyat Malaysia.
“Semua lajnah dalam PAS perlu bergerak ke arah penyatuan ini kerana ia merupakan agenda utama yang akan diterjemahkan melalui undi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.
Beliau juga mencadangkan Malaysia, yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN tahun hadapan, membawa isu perpaduan ke peringkat global, termasuk dalam isu Palestin dan hak asasi manusia.
Beliau percaya, jika isu perpaduan dalam negara dapat diselesaikan, Malaysia akan mampu memberi tumpuan kepada agenda ekonomi dan bangkit sebagai sebuah bangsa yang mempunyai identiti tersendiri berlandaskan nilai-nilai Islam. – HARAKAHDAILY 15/9/2024











