
TEMERLOH: Dewan Muslimat PAS Pusat mendesak kerajaan mengambil langkah tegas dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup, terutama sekali selepas penarikan subsidi diesel yang disifatkan sebagai tindakan membebankan rakyat.
Perwakilan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Nor Azlin Mat Samsuddin, dalam usul ekonomi yang dibentangkan hari ini berkata, pengapungan harga diesel oleh kerajaan untuk mengatasi penyeludupan menyebabkan harga diesel meningkat hampir 36 peratus.
“Kenaikan ini memberi kesan langsung kepada kos hidup rakyat yang semakin terhimpit,” katanya pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 yang diadakan di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Beliau turut menggariskan beberapa kesan buruk daripada tindakan tersebut, termasuk kenaikan kos pengangkutan, peningkatan harga makanan dan bajet isi rumah, serta lonjakan kadar inflasi.
“Seluruh rantai bekalan, dari pengeluar hingga peniaga, juga terkesan apabila margin keuntungan mereka terjejas akibat peningkatan kos pengangkutan.
“Kita kini hidup dalam keadaan terdesak, dengan sebahagian besar tidak mampu untuk menyediakan makanan harian mereka,” kata Nor Azlin.
Tambah beliau lagi, kerajaan dilihat gagal mengawal aktiviti penyeludupan, dan sebagai akibatnya, rakyat dipaksa menanggung beban kos kenaikan yang berpunca daripada penarikan subsidi diesel.
Oleh itu, Dewan Muslimat PAS Pusat mendesak kerajaan untuk segera melaksanakan tindakan pro-aktif bagi menangani masalah kenaikan kos sara hidup yang terus menekan rakyat, terutama pengguna kenderaan diesel di seluruh negara.
PAS Kawasan Pulai menerusi perwakilannya, Muhammad Hafiz Muhammad Arif turut menyokong usul yang dibawa oleh Nor Azlin berhubung isu kenaikan kos sara hidup dan jumlah pendapatan yang tidak seimbang.
Hafiz berkata, sebanyak 98 peratus responden di Pusat Penyelidikan Undian UCSI mengatakan kerajaan gagal dan tidak cukup melakukan terbaik dalam menangani isu peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup semakin menghimpit masyarakat kini.
“Majoriti pendapatan digunakan untuk bayaran ansuran seperti perumahan, kenderaan, pendidikan dan pinjaman peribadi yang menyebabkan mereka tidak mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan ke atas barangan lain.
“Kenaikan kos sara hidup terjadi setiap tahun walaupun terdapat banyak rungutan dan rintihan daripada rakyat tentang kenaikan harga barangan pengguna, malah menjadi perbualan hangat rakyat di mana-mana.
“Hal ini memberi suatu keadaan dan suasana yang boleh memberi implikasi yang buruk dan tidak baik kepada rakyat dan negara iaitu berkaitan ketidakseimbangan ekosistem ekonomi masyarakat, keadaan sosial, keselamatan, kesihatan dan pendidkan.
Justeru, beliau menggesa kerajaan agar mempertimbangkan penyelesaian secara menyeluruh dalam membantu mengimbangi keperluan kewangan rakyat seterusnya membantu mereka berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Hal ini perlu diberi suatu komitmen yang tinggi dan serius untuk
mengatasinya antaranya adalah menetapkan kadar gaji pekerja yang lebih baik dan meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan aktiviti jual beli di pasaran.
“Selain itu, membasmi aktiviti penyeludupan yang tinggi, tingkatkan kesedaran pengurusan kewangan dan simpanan dan kesedaran gaya hidup dan pergaulan.
“Hakikatnya, rakyat kini berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup yang signifikan dengan kenaikan inflasi yang dijangka meningkat antara tiga hingga 3.5 peratus merupakan antara penyumbang kepada masalah ini,” katanya.
Tambah beliau, peningkatan dari hanya 1.8 peratus pada April 2024 tidak seiring dengan kadar gaji dan upah menyebabkan banyak keluarga dalam keadaan sukar.
Oleh demikian, PAS perlu menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi memberi fokus sepenuhnya dalam isu ini dan menubuhkan mekanisma kajian khusus yang lebih mendalam.
Beliau berkata, perkara ini supaya rakyat dapat melihat PAS satu-satunya parti yang memperjuangkan dan membela nasib rakyat berdasarkan kapasiti kemampuan yang ada pada hari ini sentiasa cakna dan selalu kehadapan berbanding parti-parti lain.
“Jadikan Kerajaan Empat Negeri (SG4) yang dibina suatu contoh modul pentadbiran yang berjaya di mata masyarakat sementara menuju ke puncak pentadbiran negara yang akan datang tidak lama lagi.
“Kini di mata rakyat kita adalah juara mempertahankan agama dan bangsa, dan harini kita mestilah menjadi juara mempertahankan ekonomi rakyat di dalam hal kos sara hidup ini.
“Kalau kita hanya sekadar berkata-kata tanpa ada desakan langkah untuk melakukannya, kita akan dilihat omong-omong kosong sahaja di mata masyarakat tanpa ada kekuatan untuk menguruskan dan memajukan ekonomi rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024











