Penyatuan ummah kuatkan perpaduan Melayu-Islam

Dr Abdul Ghani Ahmad
- Advertisement -

TEMERLOH: Muktamar Tahunan PAS ke-70, bersetuju sebulat suara menyokong usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Jerlun berkaitan penyatuan ummah dalam kalangan Melayu-Islam.

Usul tersebut yang dibentangkan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad, menggesa PAS Pusat agar mengorak langkah mengubah minda orang Melayu daripada terus berpuak-puak serta berpecah belah, sebaliknya berpakat di bawah satu dimensi politik berteras Ketua Melayu-Islam.

Tegas beliau, ketuanan Melayu-Islam pernah diwujudkan selepas kemerdekaan dengan berpaksikan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa meminggirkan hak-hak bukan bumiputera sedia ada.

- Advertisement -

“Semalam, 14 September, cukuplah lima tahun Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini dibentuk oleh dua parti orang Melayu terbesar dalam negara iaitu PAS dan Umno. Namun muafakat itu terlerai apabila wujudnya sikap mementingkan diri kerana inginkan kuasa.

“Wirid ‘No Anwar No DAP’ oleh Presiden Umno sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, hanya retorik, kini realitinya mereka (Umno) sanggup berkongsi kuasa memerintah negara bersama Pakatan Harapan (PH) dan mengetepikan MN,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Dr Ghani berkata, walaupun Umno merupakan musuh politiknya lebih daripada 60 tahun namun atas Perpaduan Ummah PAS rela melupakan kisah silam dan mengambil sikap tidak membalas dendam walaupun banyak kezaliman yang dilakukan oleh parti itu kepada PAS sebelum itu.

Tindakan PAS itu katanya, adalah demi mencapai keberkatan dan petunjuk Allah serta menghindari perpecahan serta kebinasaan, apatah lagi pada waktu itu Umno mengalami kekalahan yang teruk dan hilang kuasa menerajui negara pada PRU14 lalu.

Tambahnya, kerajaan campuran yang dibentuk bersama PKR, DAP, PAN dan Barisan Nasional (BN) selepas PRU15, sebenarnya atas nama sahaja dipimpin oleh orang Melayu namun hakikatnya yang mencatur pemerintahan adalah DAP.

“DAP dilihat berani untuk mempersoalkan hak-hak orang Melayu seperti penguasaan di dalam perkhidmatan awam termasuk menggunakan ayat Al-Quran dengan tafsiran salah menggesa umat Islam menyokong kerajaan campuran serta mendakwa negara ini tidak lagi memerlukan parti dari kalangan orang Melayu.

“Inilah sikap chauvinis parti itu walaupun hanya mempunyai lima menteri dan enam timbalan menteri di dalam Kabinet namun berani menyuarakan hak orang bukan Melayu sebagai Perdana Menteri,” tegasnya.

Berikutan, ujar beliau, gesaannya itu bukan sahaja untuk membentuk kekuatan Melayu-Islam, sekaligus mampu menolak rancangan musuhnya untuk melenyapkan hak-hak orang Melayu di tanah air sendiri.

Bayangkan katanya, dalam setahun ini sahaja pelbagai ucapan dan tindakan yang menzahirkan wajah sebenar mereka telah dibuat tanpa berselindung bahkan dibela dan disucikan oleh parti sekutunya.

Ahli Parlimen Jerlun itu juga menegaskan benarlah sepertimana yang disebut oleh Presiden PAS, Tan Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, bahawa DAP tidak perlu berkata apa-apa kerana mempunyai jurubicara daripada kalangan orang Melayu.

“DAP berjaya melantik jurubicara daripada kalangan Melayu yang lupa akan kemelayuannya dan lalai akan keislamannya, malah menganggap Melayu sangat rasis apabila bersuara membela Melayunya atau Islamnya fanatik jika bercakap mengenai Islam.” ujar beliau lagi.

Usul tersebut turut disokong oleh Dewan Ulamak PAS Pusat yang diwakili Ustaz Zulkarnain Hassan dan PAS Kawasan Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -