
TEMERLOH: PAS terus menyatakan solidariti kepada Palestin dan mengutukan sekeras-kerasnya terhadap tindakan ganas rejim Israel terhadap rakyat Palestin termasuklah siri pembunuhan terhadap pemimpin HAMAS.
PAS Kawasan Bangi mengemukakan usul tersebut dengan menyeru PAS di semua peringkat sentiasa berada di barisan hadapan dalam memimpin rakyat Malaysia menjuarai isu Palestin serta wajib sentiasa diulangi sehingga keganasan ini terhenti.
“Sekali gus menolak cadangan ‘two state solution’ yang bertujuan mewujudkan negara Palestin dan Israel secara bersama,” demikian usul dikemukakan Perwakilan PAS Bangi, Ahmad Mokhtaza Mokhtaruddin.
Tegasnya, pendirian yang sekian lama dibawa oleh Malaysia untuk menegakkan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka itu menggesa Kerajaan Malaysia supaya tidak hadir ke mana-mana majlis rasmi dan keraian yang melibatkan Kedutaan Amerika di Malaysia.
“(Juga) Menggesa Kerajaan Malaysia menolak sebarang kerjasama bersama GIP, BlackRock melibatkan Malaysia Holdings Berhad (MAHB).
“Menggesa Kerajaan Malaysia supaya tidak menyekat mana-mana usaha boikot oleh orang ramai melibatkan barangan yang ada kaitan dengan Israel,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ‘Solidariti untuk Palestin’ pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Kelimanya beliau berkata, Kerajaan Malaysia digesa terus membantu produk Bumiputera dari sudut promosi dan bantuan kewangan sebagai satu usaha untuk menggantikan produk yang mempunyai kaitan dengan Israel.
PAS Kawasan Bangi kata beliau, menyeru supaya warga di pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat khususnya organisasi PAS di peringkat kawasan Badan Perhubungan PAS Negeri Wilayah Persekutuan.
“Dan PAS Pusat untuk terus menyatakan solidariti terhadap Palestin dengan terus mengibarkan bendera Palestin di setiap rumah, sekolah, bangunan kerajaan dan premis di seluruh negara.
Sementara itu, usul yang dibentangkan berkenaan telah disokong oleh Perwakilan PAS Kawasan Marang, Wan Ahmad Zuki Wan Ismail yang menyingkap isu Palestin tidak berkesudahan sehingga ke hari ini di mana masih dihujani dengan darah-darah para pejuang dan orang awam.
Usul tersebut kemudiannya diluluskan sebulat suara oleh semua perwakilan yang hadir di Muktamar tersebut. – HARAKAHDAILY 15/9/2024











