PH-BN kerajaan yang gagal, anak muda muak

- Advertisement -

TEMERLOH: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menyuarakan rintihan anak muda yang sudah muak dengan pengurusan sara hidup dan ekonomi negara di bawah pemerintahan Kerajaan Madani.

- Advertisement -

Kenyataan beliau itu diambil daripada Kajian Pusat Pengundian Penyelidikan di UCSI terhadap belia yang memberi maklum balas menangani tahap kejayaan kerajaan mengatasi ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya juga, seramai 73 peratus belia di Malaysia mempunyai hutang dalam menghadapi komitmen asasinya dengan komitmen pembayaran kenderaan, pinjaman pendidikan atau biaya persekolahan dan rumah kediaman.

“Ini semua keperluan asasi yang perlu anak muda hadapi sama ada baru habis pengajian atau baru memulakan alam perkahwinan. Mereka terpaksa berhutang dan mereka juga tidak mampu membayar hutang.

“Kerana itu, anak muda sekarang menyampah dengan kerajaan dan ditambah pula dengan dendam kesumat yang tidak berkesudahan,” katanya dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.

Justeru itu kata beliau, PAS perlu adakan pilihan lebih baik untuk ditawarkan kepada rakyat berbanding parti lain kerana PAS mempunyai dasar tinggi iaitu Islam dan syariat yang dipandu oleh Majlis Syura Ulamak PAS.

Dalam pada itu, Afnan juga mendakwa bahawa anak muda sekarang lebih memilih Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mencatat sebanyak 58 peratus anak muda menyokong PN.

Walaupun begitu, Afnan menyatakan Pemuda PAS tidak meraikan perkara tersebut sebagai satu kejayaan di mana selain terlalu awal, malah mereka juga sedar cabarannya lebih besar perlu ditempuhi.

“Sokongan anak muda ini, seolah memberi harapan kepada PN tetapi mereka hanya memberi sokongan tanpa terikat untuk menjadi ahli PAS. Malah mereka juga boleh berubah pendiriannya pada bila-bila masa sahaja.

“Kita perlukan sokongan mereka secara berterusan untuk memimpin, mendidik dan memberi contoh teladan yang baik bagi menyelamatkan negara dan memberi solusi terhadap negara supaya Malaysia menjadi negara yang sejahtera,” jelas beliau.

Justeru itu, PAS perlu memahami anak mudalah yang mendominasi jumlah pengundi di Malaysia dan menjadi rebutan dan sasaran semua pihak.

“Siapa yang boleh beri solusi, penyelesaian dan mendekati anak muda dengan bahasa dan gaya anak muda, itulah yang menjadi pilihan mereka.

“Dalam hal ini, kita perlu mendekati mereka dengan semua kategori dan kita tidak boleh memilih. PAS adalah parti dakwah dan PAS perlukan sokongan semua pihak.

“PAS perlu menyantuni semua kategori masyarakat untuk menawan Putrajaya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.

Tegas beliau, jika tidak ada tindakan dan sokongan seperti itu, PAS seolah terkebelakang semula sedangkan PAS telah diterima oleh anak muda.

Oleh yang demikian, Pemuda PAS juga katanya, sudah mengambil tindakan awal dengan melaksanakan beberapa langkah awal untuk membina pelapis dalam kalangan anak muda bagi melahirkan pelapis para pejuang.

“Hal ini terdapat cabaran selepas Perlembagaan telah meminda umur pemuda daripada 40 tahun telah bertukar menjadi 39 tahun mengikut perkembangan semasa,” katanya.

Tambah Afnan lagi, terdapat dua platform untuk membina pelapis iaitu membina jiwa kepimpinan dalam organisasi dan mengadakan pelajar praktikal (internship).

“Mereka akan dipimpin mengikut kelas yang diminati dan selepas tamat pengajian, mereka akan turun ke lapangan dan merasai semua bahagian pimpinan.

“Kemudian, kita akan meletakkan mereka di posisi yang munasabah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -