PAS terus buka pintu penyatuan, tolak ekstremisme

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS tetap terus membuka pintu untuk agenda Penyatuan Ummah dengan Umno, walaupun terdapat isu melibatkan kepimpinan parti tersebut, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Menurutnya, PAS bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak kecuali kumpulan ekstremis, dalam kerangka besar penyatuan umat Islam dan bangsa Melayu.

“Penyatuan ummah bukan sekadar dengan Umno, tetapi dengan semua pihak yang bersedia menyertai kami, kecuali dengan kumpulan ekstremis,” katanya pada sidang media selepas Muktamar Tahunan PAS kali ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.

Beliau turut mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga membuka ruang untuk penyatuan ummah, namun katanya isu integriti menyelubungi Zahid tetap menjadi perhatian PAS.

“Kami tidak menafikan ada kes melibatkan Zahid. Beliau masih boleh didakwa jika ada bukti kukuh. Sebanyak 47 kes bukan perkara kecil.

“Dakwaan terhadap beliau dihentikan, bukan diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak bersalah,” jelas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Menurutnya, isu Zahid perlu dilihat dari sudut integriti, di mana pendakwaan dihentikan oleh pihak pendakwa raya, sebelum mahkamah sempat membuat keputusan penuh.

“Beza besar di sini adalah pendakwaan dihentikan, bukan mahkamah memutuskan beliau tidak bersalah.

“Semasa di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau dituduh dan semasa di bawah Perikatan Nasional (PN), sebahagian kes tersebut dibuktikan semasa beliau membela diri,” tambahnya.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan bahawa prinsip Penyatuan Ummah yang didukung oleh PAS adalah jelas dan tegas, serta telah beberapa kali ditekankan oleh Presiden PAS dalam ucapan-ucapan beliau.

“Ini bukan kali pertama PAS menyuarakan gagasan penyatuan ummah. Kita pernah bergabung dengan pelbagai parti dalam 13 pilihan raya, tetapi prinsip yang kuat tetap dikekalkan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -