
TEMERLOH: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan bahawa amalan bai’ah akan terus dikekalkan meskipun PAS bakal meminda Perlembagaan parti.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Muktamar Tahunan PAS Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
“Amalan bai’ah kita akan kekal walaupun ada pindaan Perlembagaan. Bai’ah ini untuk mengukuhkan kawalan ahli dari segi spiritual manakala undang-undang pula kawalan dari segi fizikal,” jelas beliau.
Takiyuddin menambah bahawa lafaz sumpah bai’ah dengan Allah menanamkan rasa tanggungjawab dan kesedaran rohani dalam kalangan ahli.
“Rasa gerun dengan lafaz sumpah ini menjadikan mereka bertanggungjawab dengan janji yang dibuat.
“Dosa dan pahala tidak terdapat dalam undang-undang, tetapi ia penting dalam konteks kepercayaan spiritual,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024











