
KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) melengkapkan senarai pemain import pada perpindahan kedua Liga Malaysia selepas menandatangani penyerang kelahiran Brazil, Washington Brandao.
Presiden, Rozi Muhamad bersetuju untuk membawa masuk pemain berusia 34 tahun itu yang berpengalaman beraksi di Liga Denmark, Indonesia serta Vietnam.
Pemilik nama Washington itu juga pernah beraksi di Liga Super Malaysia selama dua musim bersama kelab yang telah dibubarkan, PJ City FC.
Dalam kenyataan KDN FC hari ini memaklumkan, sebelum menyertai KDN FC, Washington Brandao bermain bersama Abahani United FC dalam saingan Liga Premier Bangladesh.
“Dengan pengumuman pemain yang turut berkebolehan beraksi di posisi sayap, kelab berpangkalan di Kota Bharu ini telah melengkapkan senarai pemain import skuad Sang Kijang Emas setelah mengumumkan perpindahan masuk Layth Kharoub dari Palestin serta Aung Kaung Mann dari Myanmar,” kata kenyataan itu.
Skuad kendalian Park Jaehong juga telah membawa masuk tiga pemain tempatan, Muhaimin Izzudin dan Fikri Che Soh secara tetap selain meminjam pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah. – HARAKAHDAILY 15/9/2024











