Pusat digesa hormati, tunai hak federalisme

- Advertisement -

TEMERLOH: Kerajaan Persekutuan digesa agar menghormati semangat federalisme dengan memberikan hak-hak yang sepatutnya diterima oleh setiap kerajaan negeri.

- Advertisement -

Gesaan itu diutarakan melalui usul Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang dibentangkan oleh Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70, di sini hari ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan juga diingatkan untuk sentiasa berpegang kepada Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan, di mana Dewan Rakyat mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama.

“Dalam pada itu DUN juga mempunyai kuasa menggubal undang-undang berkenaan dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama, khususnya negeri yang mempunyai Sultan dan Raja Melayu yang perlu dihormati.

“Sementara negeri-negeri juga mempunyai hak yang diiktiraf dan wajib dipatuhi oleh persekutuan. Tanpa negeri-negeri ini, mustahil akan terbentuk Persekutuan Tanah Melayu,” tegasnya.

Katanya lagi, kedaulatan kerajaan negeri yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan juga berperanan memaju dan meningkatkan sosio-ekonomi negeri masing-masing.

Kedaulatan serta hak kerajaan negeri tegas beliau, tidak boleh ‘suka-suka’ dicabuli haknya terutama yang berlainan parti dengan kerajaan yang memerintah negara, di mana tindakan ‘bobrok’ itu adalah tidak bertamadun dan terkebelakang.

“Justeru DPPM menuntut agar Kerajaan Persekutuan hari ini patuh kepada sebarang perjanjian telah dimeterai sebelum ini dan tidak hanya memberikan tumpuan kepada negeri-negeri tertentu sahaja yang akan menatijahkan pembangunan tidak seimbang.

“Sementara, Kerajaan Persekutuan juga dituntut supaya memberikan hak yang wajar dinikmati oleh kerajaan negeri, termasuk royalti minyak dan limpahan-limpahan ekonomi serta pelaburan, untuk dinikmati setiap rakyat secara adil dan saksama,” tegasnya lagi

Berikutan itu katanya, sekiranya kerajaan hari ini masih terus angkuh dan sombong, DPPM tidak teragak-agak untuk mencadangkan supaya Perdana Menteri meninggalkan posisinya dan letak jawatan dengan segera.

Sementara usul yang diterima sebulat suara sidang muktamar, disokong perwakilan PAS Kawasan Dungun yang juga ADUN Rantau Abang, Ustaz Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli.

Beliau berkata, perbuatan tidak menghormati semangat federalisme merupakan peristiwa yang berulang kepada setiap negeri ditadbir pembangkang khususnya dari PAS sejak dari dulu.

“Kerajaan Madani hari ini menekan seteru politik dengan menyusahkan saluran peruntukan kepada negeri-negeri ini. Adakah mereka tidak sedar yang ditekan itu sebenarnya adalah rakyat yang memilih kerajaan negeri mengikut saluran yang sah.

“Menafikan hak negeri untuk menguruskan pentadbiran kerajaan merupakan satu kaedah yang menzalimi dan tidak menghormati kedaulatan sebuah negeri,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, PAS Kawasan Dungun yang juga mewakili PAS Terengganu menyokong penuh usul hormati semangat faderalisma agar yang zalim dapat berhenti dari melakukan kezaliman dan yang dizalimi mendapat keadilan sewajarnya.

Dalam pada itu, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat yang diwakili Thinesh Sreedaran, bangun menyokong usul yang diutarakan oleh DPPM agar Kerajaan Persekutuan hari menghormati hak dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri.

Katanya, keputusan tidak menyambung serta tidak mengeluarkan lesen premis judi di empat buah negeri yang diterajui Perikatan Nasional (PN) perlu diterima dan dihormati.

“Mana-mana agamapun haramkan judi. Judi merosakkan institusi keluarga dan bangsa. Kenapa kerajaan Persekutuan hari ini mempertahankan judi? Adakah mereka ingin rakyat rosak dari segi akhlak?” soalnya.

Justeru kata beliau, Kerajaan Persekutuan haruslah mengambil keputusan PAS sebagai satu teladan.

“Kami mencabar mereka (Kerajaan Persekutuan) untuk melakukan perkara yang sama di negeri yang di perintah oleh PH-BN jikalau mereka tidak mendapat kepentingan peribadi atau politik daripada syarikat judi.

“Jangan hanya sekadar beretorik untuk melahirkan insan atau rakyat  yang menjaga kebajikan, kalau serius lakukan perubahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -