
TEMERLOH: Dewan Muslimat PAS Malaysia berharap agar penubuhan Kerajaan Empat Negeri (SG4) dapat dikekalkan oleh Allah SWT selepas tamatnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, beliau turut berharap agar penubuhan SG4 itu dapat dikembangkan dan ditambah kepada beberapa buah negeri lagi.
“Bukan sahaja SG4, tetapi insya-Allah mungkin akan menjadi SG5, SG6 dan sebagainya,” katanya ketika memberikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau di sini, hari ini.
Beliau dalam pada itu berkata, soal kemenangan untuk memartabatkan Islam bukanlah suatu perkara yang mudah.
“Kita sendiri melihat PAS yang telah berusia lebih 70 tahun, tetapi Allah masih lagi tidak mengizinkan PAS untuk mengepalai kepimpinan negara Malaysia.
“Baru-baru ini telah pun bersama Perikatan Nasional, tetapi tidak lama. Harapan besar kita untuk PRU16 nanti, insya-Allah kita bukan sahaja memimpin negeri-negeri yang kita cita-citakan, tetapi kita akan mengambil alih kerajaan negara Malaysia.
“Tetapi, kemenangan atas nama Islam ini adalah sesuatu yang sangat mahal. Kita tahu kemenangan ini adalah merupakan anugerah daripada Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024











