Tema Muktamar PAS adalah penyelesaian futuristik

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

TEMERLOH: Muktamar Tahunan PAS ke-70 yang bertemakan ‘Islam Adalah Penyelesaian’ merupakan sebuah penyelesaian yang futuristik untuk memastikan negara dapat ditadbir secara terbaik demi kesenangan dan keselesaan kepada rakyat.

Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, berkata terdapat banyak lagi isu permasalahan yang masih belum selesai di peringkat negara iaitu ekonomi, agama, kuasa dan pemerintahan, serta pembaharuan.

“Hal ini kerana manusia tidak merujuk kepada Islam sebagai penyelesaian masing-masing. Jika menggunakan tema ini (dalam kehidupan seharian) maka tidak akan berbangkit isu-isu yang tidak sepatutnya berbangkit.

- Advertisement -

“Ini merupakan tema terbaik yang dipilih oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada kali ini dengan mengemukakan beberapa pendekatan yang harmoni dan holistik untuk penyelesaian yang tuntas, insya-Allah,” katanya ketika ditemui di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, berkata empat kerajaan negeri (SG4) turut memantapkan lagi tema ini yang bersifat pelengkap bagi menjayakan agenda nasional.

“Insya-Allah ini tawaran kepada rakyat Malaysia khususnya rakyat di Pahang untuk pilihan raya yang akan datang dan mungkin akan berlaku pada bila-bila masa dalam tempoh yang sangat dekat.

“Maka itulah sebahagian daripada tawaran yang kita ketengahkan supaya bersama-sama bermuhasabah berfikir untuk memastikan soal isu rakyat dalam penyelesaian dengan cara Islam,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, berkata umum mengetahui PAS adalah sebuah parti komponen Perikatan Nasional dan Ahli Parlimen PAS merupakan ahli yang paling ramai dalam Dewan Rakyat setakat ini.

“Jika PAS agresif ataupun memilih pendekatan yang penyelesaian ialah Islam maka sudah pasti kita mampu mendominasi mana-mana koleksi untuk mengikut apa yang kita gagaskan di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Selain itu kita juga mempunyai jentera yang mantap di peringkat bawah, maka apa saja yang dilantunkan oleh Presiden akan disambut oleh semua peringkat jentera parti sama ada di kalangan PAS Negeri dan PAS Kawasan.

“Justeru, sudah pasni ini merupakan sebahagian daripada kelebihan yang kita ada untuk memastikan tema ini dapat direalisasikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -