Fahami perbezaan syura dengan demokrasi, diktatorisme

Ustaz Khairul Azmi Ismail
- Advertisement -

TEMERLOH: Perwakilan Dewan Ulamak, Ustaz Khairul Azmi Ismail, menegaskan pentingnya memahami dan mengkaji semula konsep syura dalam Islam agar dapat membezakan dengan jelas antara syura, demokrasi dan diktatorisme.

Menurut beliau, tanpa pengetahuan yang tepat mengenai syura, sesetengah tindakan mungkin menyimpang dan lebih mengamalkan prinsip demokrasi yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Kita perlu sentiasa mengulang kaji apa yang dimaksudkan dengan konsep syura sebenar agar kita dapat membezakan dengan sejelas-jelasnya perbezaan antara syura dan demokrasi, serta syura dan diktatorisme,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan ucapan dasar Presiden PAS dengan tajuk ‘Politik Penyelesaian Berasaskan Islam’ pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan syura dalam membuat keputusan di semua peringkat, di mana tindakan veto atau keputusan sepihak tanpa perbincangan harus dielakkan.

Dalam perbahasan yang sama, Khairul juga mengetengahkan fiqh al-muwatonah, iaitu fiqh yang berkaitan dengan tanah air dan kependudukan.

Menurutnya, mempertahankan tanah air merupakan fardu ain dan perjuangan mempertahankan Melayu Islam tidak bercanggah dengan politik Islam.

“Mempertahankan tanah Melayu Islam, sebagaimana kita tahu semakin hari semakin terhakis, sama sekali tidak bercanggah dengan politik Islam itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -