Ucapan dasar bernas, keyakinan PAS tadbir negara

Ustaz Yusni Mat Piah
- Advertisement -

TEMERLOH: Ucapan Dasar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Muktamar PAS Pusat ke-70 di Kompleks al-Makmur, Kerdau di sini sebagai bernas dan penuh bersemangat.

Pengerusi PASRelief, Ustaz Yusni Mat Piah berkata, ucapan itu yang bertemakan ‘Islam Adalah Penyelesaian’ menunjukkan PAS berkeyakinan mentadbir negara dalam pilihan raya seterusnya.

“Dengan makna Islam mampu untuk memimpin dan kita mentadbir negara Malaysia ni insya-Allah berpandukan kepada prinsip dan dasar yang dibawa oleh Islam iaitu al-Quran dan sunnah.

- Advertisement -

“Dengan apa yang disebut juga oleh Tuan Guru Presiden tadi adalah pencapaian kita di empat negeri yang telah kita tadbir, SG4 yang telah kita tadbir.

“Dan bagaimana pentadbiran yang kita urus dengan baik dan mampu mengangkat sama ada dari sudut ekonomi, negeri-negeri terbabit ataupun di sudut masyarakatnya yang hidup dalam keadaan harmoni walaupun pendekatan yang kita buat adalah Islam,” ujar beliau ketika ditemui Harakahdaily di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagaimana disebut oleh Tuan Guru Presiden dalam ucapan dasar itu, PAS tetap bersama Perikatan Nasional dan tidak akan sama sekali berkompromi ataupun bergabung dengan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, PAS juga tetap menyeru khususnya di kalangan orang Melayu ataupun parti Melayu ke arah Muafakat Nasional dan juga Penyatuan Ummah yang lebih besar.

Sehubungan dengan itu katanya adalah ia untuk memastikan DAP yang menguasai negara pada hari ini dapat dikalahkan.

Selain itu ujar beliau, ucapan dasar Presiden itu pun bukan hanya fokus kepada negara Malaysia sahaja, tetapi luar negara dengan penegasan yang jelas.

“(Penegasan itu) berhubung dengan isu Palestin dan juga komitmen yang telah diberi oleh PASRelief bagi pihak PAS pusat untuk misi-misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa ataupun peringkat luar negara lah.

“Di negara-negara yang bergolak, konflik, seumpama di Syria, Yaman, Rohingya dan seumpamanya. Jadi ucapan yang menyeluruh fokus untuk dalam persediaan PAS untuk menerajui negara dan juga (isu kemanusiaan) luar negara,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -