
TEMERLOH: Pembangunan insan ialah usahs pembangunan manusia secara menyeluruh yang meliputi jasmani dan emosi berdasarkan kepimpinan wahyu Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Perwakilan PAS Kelantan, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pembangunan insan juga merupakan proses pertama bagi membangunkan dan menyelamatkan negara daripada anasir yang merosakkan.
“Pembangunan insan sangat berkait rapat kepada solusi kepada pelbagai masalah yang timbul dalam masyarakat dan negara. Semua gejala buruk jenayah adalah berpunca daripada kegagalan pembangunan insan ini.
“Kini, rakyat jelata sedang berlaku kecelaruan dan kepincangan yang membimbangkan kerana berpunca daripada kegagalan kepimpinan negara.
“Tiada ertinya kalau negara membangun pesat fizikalnya dan terlalu hebat nampaknya, tetapi runtuh akhlak pemimpin dan rakyatnya,” ujar beliau.
Ustaz Tuan Saripudin menegaskan demikian ketika mengambil bahagian dalam usul terima kasih dan perbahasan Ucapan Dasar Presiden PAS di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini tadi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising berkata, pembangunan insan adalah formula kepada pembangunan seimbang dan lestari yang mesti diperkasakan di seluruh negara.
“Kalau kita melihat pembangunan insan adalah termasuk di dalam salah satu tiga rukun agama iaitu iman, Islam dan ihsan, bahkan kebanyakan syariah termasuk untuk pembangunan insan.
“Justeru, pembangunan insan adalah sumber terpenting iaitu al-Quran dan Sunnah yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai model kepada para Sahabat yang soleh.
“Kejayaan pembangunan insan akan mewarnai pembangunan negara dengan sebaik-baiknya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 14/9/2024











