Pengurusan negara sangat cacamarba

- Advertisement -

TEMERLOH: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi menyifatkan situasi pengurusan negara hari ini sangat cacamarba.

- Advertisement -

Beliau membangkitkan tiada harga barangan yang turun ketika zaman pentadbiran kerajaan pada masa ini.

Katanya, sudah banyak krisis yang berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil pentadbiran kerajaan persekutuan pada hari ini.

“Sekarang sudah banyak berlakunya kenaikan harga barang. Harga minyak naik betul. Harga barangan-barangan keperluan seperti beras pun naik betul.

“Cuba beritahu saya, apa harga barang yang turun? Malangnya tidak ada apa apa pun yang turun,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan PAS ke-70 yang diadakan di Kompleks Al-Makmur, Kerdau hari ini.

Menurut beliau, dunia pada masa ini sedang memberi tumpuan kepada kepesatan teknologi seperti sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik.

“Namun kita harus sedar cabaran-cabaran ini sudah mencapai satu kemuncak dan perlu diperbaiki agar ianya tidak menjadi satu kejutan keterujaan dengan pengurusan yang lemah dan tatakelola yang cacamarba.

“Saya mengambil contoh seperti di negara Thailand yang mana mereka sedang berhadapan hampir setengah juta pengeluaran kenderaan elektrik yang tidak laku.

“Permintaan kenderaan tersebut semakin rendah akibat daripada persaingan yang banyak.

“Kita juga dapat melihat contohnya seperti syarikat Tesla yang menarik pelaburan mereka di negara sekitar Asia kerana memahami cabaran-cabaran industri yang terkini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Nadzir menyatakan kerajaan telah mengerah perbelanjaan yang dahulunya dinikmati oleh rakyat untuk disalurkan dalam kantung perbelanjaan negara ini.

Kata beliau lagi, kerajaan sering mengumumkan jumlah pelaburan yang tinggi kepada rakyat.

“Hakikatnya, apa yang berlaku ialah sebaliknya yang mana kerajaan telah menarik banyak perkara yang dinikmati oleh rakyat yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup.

“Hari ini kita membuka mata melihat penipuan-penipuan yang mereka sajikan sebelum ini yang mana pengurusan negara ini sangat cacamarba,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -