Tangani krisis nilai diri manusia dengan cara Islam

- Advertisement -

TEMERLOH: Cara hidup Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah diyakini akan dapat mengembalikan semula krisis nilai dalam diri manusia, demikian dinyatakan Perwakilan Dewan Muslimat PAS, Laila Farhana Awang Bakar.

- Advertisement -

Menurut beliau, Islam menyediakan panduan lengkap untuk menjalani kehidupan yang seimbang dari segi spiritual, moral, dan sosial di mana terdapat cara untuk memulihkan krisis nilai dengan pendekatan Islam seperti mendekatkan diri kepada Allah iaitu takwanya seorang hamba.

“Mendekatkan diri kepada Allah menerusi pelbagai konteks seperti mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam yang terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah kerana ianya memberi panduan yang jelas seperti mempelajari nilai-nilai asas seperti keadilan, kejujuran, dan amanah.

“Meningkatkan amal ibadah juga akan memperbaiki hubungan dengan Allah membentuk kesedaran rohani yang kuat. Berdoa dan memohon keampunan pula langkah awal dalam menyucikan jiwa,” katanya dalam perbahasan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar PAS Kali Ke-70 di sini, hari ini.

Jelas Laila, manusia itu hanya dapat memperkukuhkan akhlak yang terpuji selepas mendekatkan diri kepada Allah kerana, apabila manusia sudah mencari Allah, ia akan meladani akhlak Rasulullah SAW.

“Kerana sifat-sifat Baginda seperti amanah, sabar, jujur, dan pemaaf boleh membantu memperbaiki diri dan nilai moral kita. Dalam pada itu, mempraktikan sifat ihsan (keikhlasan) juga.

“Manusia akan berusaha sebaik mungkin dalam membawa kesedaran setiap tindakan harus dilakukan dengan niat yang murni dan berlandaskan ajaran Islam,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, apabila selesai urusan Allah dan Rasul, memperbaiki hubungan sesama manusia dari segi muamalah pula, perlu ada sifat adil dan jujur dalam setiap urusan.

“Islam mengajarkan untuk menghormati hak-hak orang lain, menjaga silaturahim dan bersikap ihsan kepada jiran serta masyarakat.

“Ia juga perlu berikteraksi dengan penuh kasih sayang dan menghormati pandangan orang lain dalam membantu mengukuhkan nilai kemanusiaan,” katanya.

Tambah beliau, meningkatkan dan mempelajari ilmu agama seperti fiqh, akidah dan tasawuf adalah cara untuk memperbaiki kefahaman mengenai nilai-nailai Islam.

Selain itu, ilmu yang sahih juga akan membentuk asas kukuh untuk memahami halal dan haram serta hikmah di sebalik setiap perintah Allah.

“Menuntut ilmu tidak terbatas pada ilmu agama semata-mata. Islam menganjurkan umatnya menuntut ilmu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat termasuk ilmu sains, ekonomi dan sosial bagi membantu seseorang membuat keputusan yang berlandaskan nilai Islam,” ujarnya.

Justeru itu, Laila juga mengingatkan mengenai usaha menghindari perkara yang dilarang dengan menjauhi dosa dan maksiat di mana ia sering kali timbul dalam krisis nilai ini.

“Mengawal hawa nafsu dengan menundukkan nafsu yang merosakkan seperti zina, riba, fitnah dan perbuatan buruk, seseorang itu, akan dapat membina kehidupan yang lebih harmoni dan berlandaskan nilai Islam,” kata beliau.

Oleh yang demikian Laila berkata, memilih Sahabat yang beriman bagi membentuk komuniti yang baik juga boleh mempengaruhi nilai diri secara positif.

Tambahnya, komuniti yang baik akan sentiasa memberi sokongan moral dan mengingatkan mengenai kebaikan serta ibadah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu atau halaqah.

Kesungguhan demikian jelasnya, dapat memperkukuhkan kefahaman dan kesedaran diri terhadap pentingnya nilai dalam Islam.

Peringatnya, manusia juga perlu bertindak berdasarkan niat ikhlas kerana Allah pada setiap tindakan, pekerjaan dan keputusan dalam hidup bagi memastikan nilai yang dipegang adalah untuk mencari keredaan Allah. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -