Kompleks Al-Makmur cetusan idea Tuan Ibrahim

- Advertisement -

TEMERLOH: Ahli Jawatankuasa PAS Pahang, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, ini adalah kali kedua negeri ini  diberikan kepercayaan untuk menjadi tuan rumah kepada Muktamar Tahunan PAS setelah diberikan kepercayaan kali pertama pada tahun 2019.

“Kali ini PAS Pahang jadikan premis Kompleks Al-Makmur di Kerdau sebagai tempat untuk kita semua bermuktamar, sekali gus menjadikan Pahang, negeri yang menggunakan premisnya sendiri dalam penganjuran Muktamar Tahunan PAS selain Kelantan dan Kedah,” ujarnya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden, hari ini.

- Advertisement -

Tambah beliau lagi, pembinaan Kompleks Al-Makmur adalah cetusan idea Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada tahun 2004 ketika itu beliau menjadi Pesuruhjaya PAS negeri.

Usaha giat mengumpul dana dilakukan di semua peringkat parti bermula di negeri, kawasan hingalah cawangan-cawangan di seluruh negeri Pahang.

Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin

Mohd Zakhwan turut berkata, setiap kawasan diberikan tanggungjawab menyumbang secara infaq wajib sebanyak RM1,500 setiap bulan bermula dari tahun 2017 hingga akhir tahun 2024 bagi menyiapkan kompleks itu di samping sumbangan daripada ahli dan penyokong parti di seluruh negara.

“Kerja-kerja pembinaan fasa 1 dimulakan pada tahun 2010 dan siap sebahagian besarnya pada tahun 2019 yang diketuai oleh Musanif Ab Rahman selaku Bendahari PAS Pahang ketika itu yang dilantik sebagai pengurus bersama dengan pasukannya.

“Kos yang dibelanjakan adalah sebanyak RM4 juta,” jelasnya yang juga ADUN Tahan.

Justeru kata beliau, usia PAS negeri telah mencecah 70 tahun bertepatan dengan penganjuran Muktamar Tahunan PAS ke-70 pada kali ini.

“Tema PAS teraju Pahang telah diangkat kali ketiga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 pada masa akan datang yang diharapapkan menjadi pemangkin untuk merealisasikan hasrat untuk PAS dan Perikatan Nasional menerajui Pahang.

“Pengalaman Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengisi kemenangan di Pahang sesuai dengan sosiobudaya rakyat di Pahang yang sederhana,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -