
TEMERLOH: Perikatan Nasional (PN) berpotensi menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota pada 28 September depan, demikian menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, di sini.
Jelas beliau, gelombang PRK kali ini dilihat berbeza jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke 15 dahulu antaranya kemasukan senarai pengundi dalam daftar pemilih.
“Terdapat dua situasi yang tidak sama dahulu dan sekarang iaitu ketika PRN Negeri Johor dan Melaka, peratus keluar mengundi pengundi awal sangat rendah walaupun daftar pengundi awal sudah masuk sistem. Malah gelombang kebangkitan rakyat ketika itu juga belum berlaku lagi.
“Gelombang kebangkitan rakyat mula bersemarak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu. Oleh itu PAS dapat menjangkakan akan berlaku perubahan di DUN Mahkota, 28 September ini,” kata beliau.
Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga ADUN Cheka itu ditemui media selepas Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Dalam pada itu tegas beliau, dakwaan kononnya PAS memboikot penamaan calon N.29 DUN Mahkota yang diadakan hari ini, adalah tidak benar sama sekali.
Jelasnya lagi, walaupun semua pemimpin PAS seluruh Malaysia berada di Muktamar Tahunan yang diadakan selama dua hari, namun Naib Presiden, Dato’ Seri Mohd Amar Abdullah hadir ke penamaan calon tersebut mewakili PAS Pusat.
“PAS Pusat sudah memaklumkan hal ini kepada pemimpin PN termasuk Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri. Malah hari ini perwakilan PAS dari Johor pun tidak hadir, mereka bersama parti kompenan PN lain, hadir ke penamaan calon. Jadi tidak timbul PAS boikot,” jelas beliau.
Sementara berkaitan peratus bukan-Melayu di N.29 DUN Mahkota yang agak tinggi iaitu 45 peratus, Tuan Ibrahim berkata, PAS akan gerakkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).
Jelas beliau, sayap PAS yang terdiri daripada ahli-ahli bukan-Muslim itu akan bersama parti kompenan PN iaitu GERAKAN untuk membantu berkempen khususnya kepada pengundi bukan-Melayu.
“Sebahagian DHPP ada di sini (muktamar) dan sebahagian besar turun ke DUN Mahkota dan bantu berkempen untuk calon PN,” katanya lagi.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lalu.
Pada PRN 15 lalu, Datuk Sharifah (BN) menang dengan majoriti undian 5,166 mengalahkan tiga calon lain iaitu Muhammad Taqiuddin Che Man (PH), Mohamad Nor Lingan (PN) dan Mohamad Noor Suleiman (Warisan). – HARAKAHDAILY 14/9/2024











