Jentera PAS turun ke PRK DUN Mahkota – Presiden

- Advertisement -

TEMERLOH: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi penegasan bahawa Jentera Pilihan Raya PAS akan seperti biasa memainkan peranan penting dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK).

- Advertisement -

Beliau memaklumkan bahawa Jentera PAS tetap turun terlibat dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Mahkota yang bermula hari ini dan akan mengadakan pembuangan undi pada 28 September ini.

Menurut Abdul Hadi, strategi gerak kerja PAS akan disesuaikan mengikut keadaan setempat, memastikan kehadiran dan sokongan yang optimum bagi memastikan kemenangan PN di kawasan berkenaan.

“Jentera kita akan bantu seperti biasa dan strategi yang digunakan mengikut kesesuaian dengan keadaan setempat bagi memastikan kemenangan yang lebih besar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada wartawan pada sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS dan merasmikan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau di sini hari ini.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61, pula merupakan bekas jurulatih serta pemain bola sepak Johor FA, lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’. – *HARAKAHDAILY 14/9/2024*

- Advertisement -