
TEMERLOH: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menegaskan bahawa parti itu sentiasa terbuka untuk berbincang dan bekerjasama dengan Umno serta parti-parti lain yang tidak ekstrem.
Ujarnya, pendekatan itu diambil bagi memastikan kestabilan negara dan mengukuhkan perpaduan ummah, selaras dengan aspirasi PAS untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia.
Menurutnya, pertemuan dengan Umno dilihat sebagai satu langkah strategik, walaupun terdapat perbezaan individu dalam kalangan pemimpin dan ahli Umno.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al Makmur, Kerdau hari ini.
Turut serta ialah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Ahli Parlimen Marang itu menekankan bahawa perlu dibezakan antara ‘orang Umno’ dan ‘parti Umno’ itu sendiri.
“Umno ada sejarahnya tersendiri, mereka bersama PAS memperjuangkan kemerdekaan negara.
” Kita juga pernah bersama-sama dalam menegakkan syiar Islam dengan menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara, termasuk selepas peristiwa 13 Mei, di mana kedua-dua pihak berjaya membantu mengawal keadaan negara,” ujar beliau.
Katanya lagi, PAS juga pernah menyokong pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengekang pengaruh komunis yang mengancam keselamatan negara pada suatu ketika dahulu.
“Ini membuktikan bahawa dalam situasi-situasi tertentu, PAS dan Umno mampu bekerjasama demi kepentingan agama, bangsa, dan negara,” katanya.
Semasa menyampaikan ucapan dasar tadi, beliau menegaskan parti itu akan terus beristiqamah mengenali kalangan yang ikhlas menerima Islam adalah penyelesaian dan menolak kalangan yang telunjuknya lurus tetapi kelengkengnya berkait.
“Bahkan, PAS tetap berdiri teguh mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan menghidupkan Muafakat Nasional (MN) yang sebenar, dan tidak sesekali berhasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam apa jua bentuk,” tegasnya.
Katanya, PAS memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, iaitu kalangan yang tidak menghalang bahawa Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah dan penyelamat manusia yang berwawasan dunia sehingga akhirat, serta mewajibkan Islam memimpin. – HARAKAHDAILY 14/9/2024











