Cabaran pelaksanaan syariat, sekatan ekonomi

- Advertisement -

TEMERLOH: Usaha PAS membawa penyelesaian Islam dihalang dalam perkara yang paling nyata seperti bantahan terhadap pengharaman judi dan arak yang dilaksanakan, termasuklah segala usaha pelaksanaan syariat diganggu-gugat.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana ada pihak yang melaksanakan agenda Islamofobia bagi menakut-nakutkan manusia terhadap Islam.

“Pendekatan ini pernah dilakukan oleh musuh Islam pada zaman awal Islam yang menolak petunjuk Allah kerana tidak percaya atau ragu akan kebenaran dan janji Allah, walaupun pemimpin jahiliah Makkah mengetahui kebenaran rasul akhir zaman, kebijaksanaan dan akhlaknya yang mulia,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, Allah SWT menceritakan ucapan mereka apabila ditawarkan petunjuk Allah yang benar dalam Surah al-Qasas, ayat 57 yang bermaksud: “Dan mereka (yang kafir) berkata, ‘Jika kami mengikuti petunjuk bersama- sama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami.’ Mengapakah mereka berkata demikian? Bukankah Kami (Allah) meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah Tanah Haram (tanah suci Makkah) tempat tinggal yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagi kamu) dari sisi Kami? (Benar, kamu telah menjadikan semua itu) tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”

Justeru, ujar beliau adalah menjadi kewajipan kepada semua umat Islam supaya mempertahan dan memartabatkan undang-undang syariat, khususnya pengamal dan penggubal undang-undang, bukannya menghalang apatah lagi menghina.

Katanya, cabaran kedua melalui sekatan ekonomi dan pentadbiran dengan cara merampas sumber negeri yang diperintah oleh PAS.

“Antaranya seperti membatalkan royalti petroleum Terengganu dan menafikan hak negeri Kelantan, sehinggalah menghalang kemenangan melalui demokrasi yang sah dan menafikan peruntukan bagi pembangkang. Semua ini seakan-akan meneruskan agenda sebagaimana golongan munafiq pada zaman awal Islam di Madinah,” katanya:

Tuan Guru memetik firman Allah dalam Surah al-Munabiqun, ayat 7 yang bermaksud: “Mereka orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar), ‘Janganlah kamu memberikan perbelanjaan (bersedekah) kepada orang- orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah).’ Padahal kepunyaan Allah semua perbendaharaan yang ada di langit dan di bumi, tetapi orang-orang munafiq itu tidak memahami.”

Justeru, kata beliau semangat ‘federalisme ekonomi’ hendaklah dihormati dan segala bentuk sekatan yang menghalang hendaklah dipecahkan, supaya sumber hasil negeri dan potensi sumber manusia dapat dimanfaatkan, seterusnya kekayaan negara dinikmati bersama.

Tambahnya, sejak dua menjak ini, banyak kejadian kes bunuh membabitkan mangsa dan suspek yang saling mengenali melalui hubungan kekeluargaan atau persahabatan, selain itu peningkatan kes bunuh diri dan culik kanak-kanak juga telah menambahkan kerisauan rakyat.

Beliau berkata, institusi kekeluargaan hendaklah diperkasakan dengan mendidik ibu bapa nilai kepimpinan keluarga dan mengajar anak-anak dalam pemilihan rakan sebaya.

Tuan Guru menambah, undang-undang ciptaan manusia yang rapuh dan tidak menggerunkan penjenayah juga faktor utama dalam kes-kes jenayah yang berlaku ini sehingga melampaui batas kemanusiaan.

“Hanya undang-undang syariat Islam sahaja mampu menggerunkan hati penjenayah dan memberikan hak keadilan kepada mangsa,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurutnya lagi, hasil daripada ketamakan manusia, dunia sekarang mengalami perubahan iklim yang sangat ekstrem iaitu banjir besar dan kemarau yang luar daripada kebiasaan.

Katanya, perubahan iklim juga bakal mengganggu sumber air dan aktiviti pertanian.

Beliau menambah, fenomena El-Nino dan musim kemarau serius dijangkakan bakal melanda Malaysia antara tahun 2025 sehingga 2035.

“Ia menuntut semua pihak memikirkan kaedah dan strategi bagi menangani isu sumber air di masa hadapan,” ujarnya.

Hal ini, katanya kerana negara bakal menghadapi cabaran besar dengan kebergantungan pada sumber air dari sungai, tasik dan air bawah tanah yang membawa kepada pengurangan ketersediaan air pada musim kemarau yang melampau.

“Maka langkah mempelbagaikan kebergantungan kepada sumber air perlu diterokai dengan lebih luas, rakyat perlu diberikan pendidikan kelestarian alam sekitar yang menekankan konsep dosa dan pahala dalam mengurus alam sekitar,” ujar beliau.

Selain itu, katanya kerajaan perlu bertindak tegas dalam menguatkuasakan undang-undang dengan menggubal atau meminda akta-akta berkaitan serta menambah baik sistem pemantauan melalui penambahan kakitangan dan penggunaan teknologi terkini. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -